Friday 13 January 2023

CARA KUTIP KULAT PUSU

 
Salah satu jenis kulat atau cendawan yang paling popular ialah kulat pusu. Kulat pusu tumbuh semula jadi di kawasan yang ada anai-anai. Anai-anai tinggal di dalam pusu atau busut. Sebab itu ia dinamakan kulat pusu. 
 
Bagaimanapun, kulat pusu tidak tumbuh betul-betul di atas pusu. Tanah pusu keras, kering dan tidak ada humus yang tidak sesuai untuk tumbuhan hidup di atasnya. 
 
Kulat pusu tidak hidup lama, jangka hayatnya mampu bertahan hanya 4 hari sahaja. Hari pertama topi kulat akan muncul dari tanah. Pada hari kedua ia tumbuh meninggi sehingga 5 – 6 inci dari atas permukaan bumi dan topinya sedikit membuka. Semasa hari kedua juga teksturnya sedikit kenyal dan keras. 
 
Pada hari ketiga topinya menjadi besar dan hampir kembang. Pada hari keempat topinya berkembang dengan penuh dan dalam keadaan ‘malo’ atau matang. Oleh itu hari yang paling sesuai untuk mengutip kulat pusu adalah pada hari kedua. 
 
Selain mengelak menjadi malo, kutip awal bertujuan ia tidak dikutip oleh orang lain. Kira macam berebut kutiplah. Siapa awal dialah yang dapat. 
 
Malam hujan lebat dan sebelah siangnya yang panas terik selama 3 hari berturut-turut menandakan musim kulat pusu tiba. Pengecaman juga boleh dilakukan dengan munculnya banyak kelekatu pada waktu malamnya. 
 
Mengutip kulat pusu ada caranya. Sekiranya tanah tempat tumbuhnya kulat-kulat ini lembut, kerja mengutipnya menjadi senang, dengan cara menarik perlahan-lahan hingga ke akarnya dan ia tidak patah. 
 
Sekiranya tanah itu keras, batang-batang kulat akan mudah patah semasa mencabutnya. Oleh itu bagi memudahkan penuaian, tanah yang keras itu hendaklah disiram air terlebih dahulu bagi melembutkannya. 
 
Berhati-hati semasa mengutip kulat pusu kerana struktur morfologi dan warnanya hampir sama iaitu putih dengan spesies yang beracun seperti Macrolepiota spesis, Lepiota spesis dan Amanita spesies. 
 
Cara untuk mengelakkan salah faham ialah dengan mempastikan bahawa di bawah cendawan tersebut terdapat pusu anai-anai dan akar kulat pusu itu panjang dan sampai ke dalam sarang anai-anai tersebut. 
 
Selepas kulat pusu dicabut, ianya dibersihkan dari tanah-tanah yang melekat tetapi tidak boleh dibasuh dengan menggunakan air kerana ini akan menyebabkan ia mudah rosak dan busuk. 
 
Kulat yang sudah dicabut batangnya tidak akan membesar tetapi topinya akan mengembang. Untuk memberi ketahanan kulat-kulat itu hendaklah disimpan dalam peti sejuk dan boleh tahan sehingga 7 hari.

No comments:

Post a Comment