Saturday, 31 May 2025

MELAYU BERDAULAT

 
Melayu berdaulat bermaksud Melayu yang bertuah, berbahagia, mempunyai kuasa tertinggi, merdeka, berkuasa atau mempunyai hak sepenuhnya di atas urusan yang berkaitan. Adakah Melayu di Malaysia sekarang ini mempunyai ciri-ciri ini?
 
Melayu pernah menempa nama besar dalam arena peradaban antarabangsa. Peradaban rumpun dan alam Melayu melakarkan mandala kecemerlangannya di Funan, Champa, Langkasuka, Srivijaya, Majapahit dan Melaka.
 
Malah, aroma kemahsyurannya semerbak ke pelantar Barat dan Timur. Sejarah bangsa, kerajaan dan kebudayaan Melayu jelas dicatatkan dalam salasilah peradaban dunia sejagat. Kemegahan Melayu terpateri dengan tinta emas dalam sejarah dan falsafah bani Adam sejagat.
 
Kemasyhuran rumpun dan alam Melayu terbenih serta bersemarak ratusan tahun ini membentuk keunggulan jati diri Melayu serumpun. Jati diri keserumpunan Melayu memancar ke seluruh penjuru dunia itu citra perdana keperibadiannya.
 
Rumpun Melayu mencipta peradabannya dan membina falsafahnya, bukan seperti kuasa Barat. Dunia Melayu lebih terkenal kerana kawalannya terhadap perdagangan serantau dan antarabangsa. 

Alam Melayu kaya dengan hasil bumi, khasnya rempah-ratus dan mempunyai pelabuhan strategik serta keunikan kebudayaan, sejarah dan falsafah.
 
Rumpun Melayu (seperti Melayu, Jawa, Bugis, Minangkabau, Banjar, Suluk dan Bajau) terkenal sebagai pedagang, pelayar dan pelaut handal. Mereka ialah perantau, penghijrah dan peneroka samudera menjalar ke lautan timur dan barat Nusantara.
 
Fakta itu adalah sejarah. Sejarah boleh berubah kepada lebih baik, kekal statik atau menjadi lebih buruk. Melayu tidak boleh berhujah kepada sejarah untuk menyatakan tentang kedudukan sekarang.
 
Sejarah adalah perkara lalu. Keadaannya tidak sama sekali sama dengan keadaan sekarang, melainkan ia adalah kenyataan masa kini. Perkara itu adalah realiti, bukan sekadar kenangan dan impian.
 
Hendak menjadi kuat Melayu kena bersatu. Perlu meancang dengan betul dan berusaha lebih kuat. Jadikan persaingan sebagai perkara positif, bukan bertengkar sesama sendiri menyalahkan antara satu sama lain.
 
Memang Melayu tidak hilang di dunia, tetapi apa guna Melayu dalam keadaan saling menjatuhkan sesama sendiri. Berasa diri hebat dan kuat, tetapi hakikatnya berada ketinggalan di belakang.
 
Jangan bercakap tentang berdaulat, sedangkan hidup bergelumang dosa, fitnah, dengki, sombong dan kebodohan.

No comments:

Post a Comment