Perkara 160 (2) Perlembagaan
Persekutuan memperincikan definisi 'Melayu' sebagai seseorang yang beragama
Islam, mengamalkan adat dan budaya Melayu, melazimi pertuturan dalam bahasa
Melayu dan a) lahir sebelum Hari Merdeka, di Persekutuan atau di Singapura,
atau ibu atau bapanya telah lahir di Persekutuan, atau pada hari Merdeka itu,
ia adalah berdomisil di Persekutuan atau Singapura; atau b) ia adalah keturunan
seseorang yang tersebut.
Justeru, jika salah satu daripada
syarat tersebut tidak dipenuhi maka seseorang itu tidak diiktiraf sebagai
Melayu menurut Perlembagaan Persekutuan.
Sebagai contoh, sekiranya seseorang
Melayu menjadi murtad atau keluar agama Islam, secara automatik orang tersebut
tidak lagi dianggap Melayu menurut undang-undang dan akan terlucut daripadanya
hak-hak keistimewaan Melayu yang dinikmatinya sebelum ini. Secara tidak
langsung, definisi Melayu sebagai Muslim dari satu sudut, dilihat dapat
memelihara akidah Islam orang Melayu agar tidak menajdi murtad.
Namun, dari sudut yang lain,
terdapat kecenderungan dalam kalangan masyarakat untuk mengaitkan Melayu dengan
Islam dalam semua perkara sehingga ke tahap ada yang mengatakan jika seseorang
memeluk Islam ia seolah-olah 'masuk Melayu'.
Pengertian salah mengaitkan masuk
Islam itu sebagai masuk Melayu menjadi halangan bukan Islam untuk memeluk Islam
di negara kita, terutama melibatkan kaum Cina.
Kaum Cina mementingkan kaum atau
bangsa berbanding agama anutan. Itu sekurang-kurangnya realiti yang dapat kita
katakan berkaitan Cina di Malaysia. Kaum Cina biarpun berada dalam parti yang
berbeza, namun mereka masih boleh bekerjasama dalam soal kepentingan kaum Cina.
Begitu juga dapat kita perhatikan
dalam keluarga Cina terdapat ahli keluarga yang berlainan agama, khususnya
Buddha dan Kristian, selain agama Tao atau agama nenek moyang. Ibu bapa seperti
tidak kisah anak menukar agama kepada Buddha dan Kristian, tetapi ‘pantang’ ada
anak memeluk Islam. Hal ini kerana mereka menganggap memeluk Islam itu sebagai
masuk Melayu.
Pada mereka, masuk Melayu bermakna
seluruh ‘sistem’ hidup terpaksa bertukar kepada Melayu selain kepercayaan
berkaitan Islam. Jadi, mereka akan merasa terpisah secara sepenuhnya jika ada
ahli keluarga memeluk Islam.
Tidak dapat dinafikan, sentimen
'Melayu itu Islam' dan 'Islam itu Melayu' yang begitu tebal di dalam masyarakat
Malaysia adalah disebabkan definisi Melayu sebagai Muslim dan kerana kaum
Melayu adalah kaum majoriti di Malaysia.
Melayu layak menikmati hak-hak
istimewa Melayu sebagaimana diperuntukkan di bawah Perkara 153, Perlembagaan
Persekutuan. Perkara 153 tersebut antara lain, memperuntukkan hak-hak istimewa
orang Melayu melibatkan kuota-kuota khas di dalam perkhidmatan awam, biasiswa
persekutuan, lesen perniagaan dan enrolmen di dalam institusi pengajian tinggi
awam.
Selain itu, terdapat juga hak-hak
istimewa lain seperti kelayakan pemilikan tanah Rizab Melayu dan pelaburan di
dalam Amanah Saham Bumiputera (ASB).
Maka itu, berdasarkan kepada
peruntukan Perlembagaan, amat penting Melayu memperjuangkan kedudukan
Melayunya. Dalam konteks penilaian sekarang, Melayu mesti Islam. Kalau setakat
tidak fasih berbahasa Melayu tidak ada siapa hendak mempertikaikan sama ada dia
Melayu atau tidak.
Pun begitu, Islam tidak sekadar
pada nama Melayu. Islam bukan setakat pada pengakuan bahawa dia adalah Islam. Islam
mesti dibuktikan dengan amalan. Inilah
yang menjadi persoalan adakah orang Melayu sekarang ini Islam?
Perkara ini dibangkitkan kerana
banyak orang Melayu sekarang ini hanya Islam pada nama. Sedangkan cara hidup
dan amalan yang dilakukan seharian jauh daripada apa yang dianjurkan oleh
Islam.
Maka itu, dalam kita mencari
kebenaran bahawa Melayu itu Islam, perlu juga kita melihat kepada perlaksanaan
peraturan atau cara hidup yang berkaitan dengan penganut agama Islam. Kita
tidak mahu Islam hanya pada nama sahaja.
No comments:
Post a Comment