Saturday, 22 February 2025

SEJARAH NASI KANDAR

 
Nasi kandar terkenal di Pulau Pinang, kini telah berkembang di seluruh Malaysia. Ia digemari segenap lapisan masyarakat, tanpa mengira bangsa.
 
Perniagaan nasi kandar dikatakan diperkenalkan oleh orang India Muslim atau Tamil Muslim. Penyediaan makanan berempah memang menjadi identiti Tamil Muslim.
 
Tentang nama “kandar”, umum diketahui kerana jualan nasi kandar dilakukan secara mengandar menggunakan kayu yang diletakkan di bahu untuk menggalas atau memikul barang (yang tergantung di kedua-dua hujung kayu).
 
Namun ada juga versi mengatakan kandar adalah perkataan Urdu yang bermaksud bahu. 
 
Tidak pasti tahun tepat nasi kandar diperkenalkan di Pulau Pinang. Namun, berdasarkan gambar yang dirakamkan sebelum Perang Dunia Kedua (sebelum 1940), memaparkan penjual nasi kandar sekitar Padang Kota Lama dan kawasan peniaga jalanan.
 
Fenomina penjual nasi kandar menunggu pelanggan di tepi jalan atau kawasan tumpuan orang ramai memang menjadi identiti Pulau Pinang pada ketika itu. Pemandangan kelibat orang ramai menikmati nasi kandar dalam suasana yang santai dan bersahaja cukup menarik.
 
Pada waktu itu, tiada meja atau kerusi mewah. Mungkin ada satu dua kerusi kayu kecil disediakan. Selebihnya, sekadar alas kain atau surat khabar. Kedudukan di tempat terbuka. Pelanggan makan dengan santai dan berselera sekali.
 
Pelanggan menikmati hidangan nasi kandar yang penuh aroma rempah sambil menikmati pemandangan sekeliling. Lebih menarik lagi jika berada di tepi pantai Padang Kota Lama, dengan angin bayu laut yang sepoi-sepoi bahasa dan pemandangan laut yang terbentang luas.

No comments:

Post a Comment