Sunday, 8 June 2025

ADAKAH BATAL WUDUK SUAMI ISTERI BERSENTUH

 
Ada mengatakan sentuhan suami isteri tidak membatalkan wuduk. Betul, memang tidak membatalkan. Itu adalah pandangan muktabar dalam kalangan ulama Ahli Sunnah, iaitu dalam mazhab Maliki dan Hanbali.

Tidak menjadi kesalahan sesiapa yang hendak berpegang mana-mana mazhab sebagai amalan peribadi selagi dia yakini itu adalah pandangan yang benar. Bahkan ada ulama dalam mazhab Syafie yang menyebut tidak terbatal jika sentuhan itu bukan disengajakan.

Ada juga sebilangan kecil ulama Syafieyah cenderung kepada orang yang disentuh tidak batal wuduknya. Namun ini dikritik oleh ulama Syafieyah yang lain. Qawl muktamad mazhab Syafie kedua-dua keadaan itu terbatal wuduk.

Ada pendapat mengatakan tidak boleh ikut pandangan mazhab lain yang memudahkan. Hakikatnya, sekiranya pandangan itu mempunyai hujah dan dalil yang kukuh, mengapa tidak boleh?

Contohnya kenapa ketika tawaf kita ikut mazhab Hanafi, Maliki dan Hanbali berkaitan tidak terbatal wuduk akibat sentuhan berlaku? Jawapannya kerana pandangan itu memudahkan kita. Memang akan ada pihak yang jawab: "Kita ikut sebab ada keperluan dan hajat, bukan saja-saja".

Yang terbaik adalah kita mengikuti sesuatu pandangan itu atas dasar keyakinan terhadap hujah yang diberikan.

Ada orang yang bermazhab Syafie, namun ketika kursus umrah belajar hujah-hujah ulama yang berpandangan tidak batal, lalu mereka menyakini pandangan itu dan amalkan dalam kehidupan seharian, bukan setakat ketika tawaf sahaja.

Tiada masalah. Kita bebas amal mana-mana pandangan mazhab muktabar untuk amalan peribadi.

Antara dalil jumhur ulama yang mengatakan tidak batal adalah hadis dalam Sahih Muslim. Aisyah berkata: "Aku kehilangan (tidak dapat lihat Rasulullah) pada suatu malam daripada tempat tidur, maka aku pun mencarinya, lalu tanganku berada di atas perut dua kaki baginda".

Ini dalil yang digunakan oleh ulama yang mengatakan tidak batal wuduk. Hujah yang agak menyakinkan.

Ulama yang berpandangan batal wuduk pula berihtimal (mengandaikan) kemungkinan sentuhan Aisyah kepada Rasulullah itu ada berlapik ataupun penghalang. Bukan terus sentuh kaki. Hakikatnya itu hanya andaian. Tidak disebutkan dalam riwayat itu sentuhan itu berlapik dengan jubah dan sebagainya.

Sebab itu kita tidak hairan ada sebahagian ulama termasuklah juga sebilangan kecil ulama Syafieyah cenderung kepada orang yang disentuh tidak batal wuduk. Namun ini bercanggah dengan qawl muktamad mazhab.

Jika ikut mazhab lain yang tertentu, kedua-dua mereka yang menyentuh dan disentuh tidak batal sekiranya tidak ada syahwat atau nafsu. 

Mazhab Hanafi pula beranggapan jimak membatalkan wuduk. Boleh ikut pandangan-pandangan ini kerana ia juga pandangan muktabar dan mempunyai hujah dan dalil sokongan jika seseorang yakini hujah dan dalilnya.

No comments:

Post a Comment