Gajah mempunyai daya ingat sehingga bertahun-tahun tentang
lokasi air dan makanan. Biarpun ia melibatkan kawasan yang luas dan telah ditinggalkan kerana
bergerak dari satu tempat ke satu tempat, gajah dapat mengingati lokasi itu
untuk kembali mendapatkan makanan dan minuman. Ini sangat penting untuk
kelangsungan hidup kawanan mereka ketika musim kemarau.
Gajah juga mempunyai ingatan kuat tentang wajah manusia dan
ahli kumpulan gajah yang pernah ditemui atau hidup bersama. Gajah boleh
mengenali wajah manusia yang pernah berlaku baik atau jahat kepada mereka, dan
bertindak mengikut pengalaman tersebut. Mereka juga mengingati ahli kumpulan
walaupun telah lama berpisah.
Satu lagi fakta menarik mengenai gajah ialah melawat bangkai
gajah yang menjadi kawanan. Apabila seekor gajah mati, kawanan gajah lain akan
berkumpul di sekelilingnya, menyentuh dan berdiri dalam senyap. Ada juga yang
kembali ke lokasi kematian berulang kali, seolah-olah melawat “kubur” pada
waktu-waktu akan datang.
Gajah hidup dalam kawanan, terutama gajah betina.
Sebaliknya, gajah jantan lebih banyak hidup bebas berasingan. Gajah yang hidup
dalam kawanan akan saling membantu antara satu sama lain. Mereka membantu
mendapatkan makanan dan jika ada gajah dalam kumpulan sakit dan perlukan
bantuan, maka tindakan saling membantu dilakukan. Gajah akan menunjukkan empati
yang tinggi.
Satu lagi sikap gajah ialah turut mengalami masalah tekanan
dan trauma perasaan seperti manusia. Gajah boleh mengalami tekanan emosi yang
mendalam akibat kehilangan keluarga, trauma pemburuan, atau pengasingan. Mereka
menunjukkan tanda-tanda kemurungan dan perubahan tingkah laku seperti manusia.
No comments:
Post a Comment