Kita diingatkan atau berhati-hati dalam
menyebarkan sesuatu berita atau hal mengenai orang lian kerana ditakuti ia
bukan perkara benar yang akibatnya kita dikatakan telah melakukan fitnah.
Fitnah ialah tuduhan melalui cerita, khabar
atau kisah yang diada-adakan atau agak-agak untuk mendatangkan keburukan
terhadap seseorang, keluarga atau kumpulan. Perkataan fitnah berasal perkataan
Arab bermaksud kekacauan, bencana, cubaan dan penyesatan.
Dalam era teknologi maklumat mudah disebar fitnah. Alat yang dicipta telah
disalahguna untuk keburukan. Penyebaran fitnah mudah disebarkan melalui alat
komunikasi tanpa perlu berdepan dengan orang disebarkan berita. Malah identiti
penyebar juga boleh dirahsiakan.
Fitnah biasanya disebarkan bertujuan
memburuk-burukan individu atau kumpulan. Pada masa yang sama perbuatan tersebut
dapat menonjolkan dirinya sebagai lebih baik dan lebih layak berbanding orang
difitnahkan.
Kita ditegah mencari keburukan orang lain
untuk kebaikan diri sendiri. Sebaliknya, lakukan usaha sendiri secara betul
untuk mendapat apa dihajati. Lihat dalam diri sendiri mencari kekuatan dan
kelemahan diri.
Rasulullah SAW bersabda bermaksud:
“Beruntunglah orang yang sentiasa menyelidiki dan melihat keaiban diri
sendiri.” - (Hadis riwayat Muslim).
Jika kita gagal melakukan sesuatu jangan
dipersalahkan kepada orang lain. Menyalahkan orang lain tidak menyelesaikan
masalah. Malah, masalah menjadi semakin kusut apabila saling tuduh
menuduh.
Dosa membuat fitnah digolongkan sebagai
dosa sesama manusia. Justeru, dosa fitnah tidak diampunkan Allah,
melainkan orang yang difitnahkan memberi keampunan.
Kita fikirkan betapa sukarnya menemui
setiap orang yang diumpat bagi memohon maaf. Betapa besarnya dosa jika fitnah
itu ditujukan kepada kelompok orang ramai.
Dosa fitnah tidak diampunkan biarpun telah
bertaubat. Jadi berhati-hati apabila bercakap agar tidak terlanjur melakukan
fitnah. Jika terlepas cakap, lebih baik mengaku kesalahan itu. Mudah-mudahan
orang difitnah secara lepas cakap itu memaafnya.
Dosa membuat fitnah menghalang seseorang
daripada memasuki syurga. Sabda Rasulullah bermaksud: “Tidak masuk syurga orang
yang suka menyebarkan fitnah” - (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).
Orang menyebarkan fitnah dibangkitkan di
akhirat di mana dirinya akan diberikan malu oleh Allah. Rasulullah bersabda
yang bermaksud: “Sesiapa yang menyebarkan satu kata-kata yang memalukan seorang
Muslim dengan tidak sebenarnya, nescaya dia akan diberi malu oleh Allah dalam
neraka pada hari kiamat” - (Hadis riwayat Ibn Abid Dunya dari Abu Zar).
Ajaran Islam bukan saja menegah menyebarkan
berita fitnah, bahkan berita benar sekalipun jika orang berkaitan berita itu
tidak mahu ia disebarkan. Jika menyebar berita benar dilarang, inikan pula
menyebarkan berita tidak benar.
Menceritakan hal benar yang tidak disukai
orang dipanggil ghibah. Rasulullah menjelaskan makna ghibah dan melarang ia
dilakukan apabila ditanya seorang sahabat.
Tanya sahabat: “Wahai Rasulullah, apa itu
ghibah?” Baginda menjawab: “Menyebut sesuatu yang tidak disukai saudaramu di
belakangnya.” Kemudian sahabat bertanya lagi: “Bagaimana jika apa disebutkan
itu benar?”
Baginda menjawab dengan sabda bermaksud:
“Kalau apa disebutkan itu benar, maka itulah ghibah, tetapi jika perkara itu
tidak benar, engkau sudah melakukan buhtan (pembohongan besar).” - (Hadis
riwayat Muslim, Abu Daud dan Tarmizi).
No comments:
Post a Comment