Ramadan
boleh diumpamakan seperti ‘kem’ latihan melahirkan Muslim lebih baik kualiti
ibadah dan takwanya. Sepanjang melaksanakan ibadat puasa, banyak sekatan
dan larangan yang perlu dipatuhi.
Malah,
dari segi kualiti ibadat pula lebih ditekankan, di mana segala perbuatan tidak
baik ditinggalkan dan ibadat-ibadat wajib dan sunat ditingkatkan.
Latihan
sepanjang Ramadan yang dilakukan dengan ikhlas mudah sebati menjadi amalan
dalam kehidupan seharian, termasuk ketika di luar bukan Ramadan.
Kalaupun tidak
diamalkan sepenuhnya apa diamalkan pada bulan Ramadan, sedikit sebanyak
perubahan ke arah lebih positif dapat dilakukan.
Jika
berulang-ulang memasuki kem latihan Ramadan pada setiap tahun dan setiap kali
keluar ada kesan positifnya, dalam tempoh yang panjang ia akan berupaya
membentuk seorang Muslim sejati.
Sebab
itu amat penting sekali setiap orang Islam melakukan ibadat puasa dengan
keikhlasan dan bukannya sekadar satu ritual. Ibadat bersifat ritual tidak
mendapat pengiktirafan pahala kerana ia dilakukan atas dasar melakukan apa yang
orang lain lakukan dan bukannya kerana mentaati dan takwa kepada Allah
SWT.
Masih
belum terlewat untuk kita muhasabah diri dan memperbaiki diri. Marilah
kita mempelajari, menghayati dan menghambakan diri melaksanakan ibadat puasa
semoga puasa tahun ini mendapat nilai ibadat terbaik.
Sesungguhnya
tujuan Allah SWT mewajibkan berpuasa adalah sebagai satu latihan
ketakwaan.
Firman
Allah SWT yang bermaksud: "Wahai orang yang beriman! Diwajibkan ke atas
kamu berpuasa sebagaimana ia diwajibkan ke atas orang yang terdahulu daripada
kamu supaya kamu bertakwa." (Surah al-Baqarah, ayat 183)
No comments:
Post a Comment