Rejab
bulan ketujuh dalam kalendar Hijrah. Banyak orang menyangka Rejab bulan
istimewa yang mempunyai banyak kelebihan. Sebenarnya tiada hadis sahih
menyatakan kelebihan Rejab. Rejab cuma termasuk satu daripada empat bulan yang
dilarang berperang padanya selain Zulkaedah, Zulhijjah dan Muharam.
Memang kita kerap mendengar ceramah agama dan penulisan mengenai kelebihan
bulan Rejab. Malangnya, kebanyakan hadis itu berkisar sekitar daif, palsu atau
tiada sandaran.
Antara hadis sering digunakan untuk menyatakan kelebihan bulan ini ialah:
"Dalam syurga ada sebuah sungai yang bernama Rejab, airnya lebih
putih daripada susu, lebih manis daripada madu. Sesiapa yang berpuasa dalam
bulan Rejab, nescaya akan diberi minum air sungai itu." Hadis ini
sebenarnya bertaraf daif.
Selain itu, hadis berbunyi: "Sesiapa yang berpuasa sehari dalam bulan
Rejab, sama seperti ia berpuasa sebulan, sesiapa berpuasa tujuh hari
nescaya ditutup daripada tujuh pintu neraka jahanam. Sesiapa berpuasa lapan
hari, nescaya dibuka baginya lapan pintu syurga." - Taraf hadis ini
juga daif.
Dalam pada itu ada hadis lagi yang berbunyi "Rejab bulan Allah, Syaaban
bulanku (Nabi Muhammad, Ramadan bulan umatku." Hadis ini munkar,
malah ada sesetengah ulama mengatakan ia hadis palsu, tiada padanya nilai
ilmiah yang boleh dipertanggungjawabkan.
Ibnu Hajar al-Asqalani telah berusaha mengumpul mengenai kelebihan Rejab dalam
kitabnya, Tabyin al-'Ajaib bima warada fi fadl Rajab. Namun menurut
beliau, tiada satu pun hadis sahih yang menyatakan mengenai kelebihan
dan fadilat puasa pada Rejab.
Tanda daif atau palsu dalam hadis kelebihan Rejab ketara sekali, terutama
apabila menjanjikan pahala yang terlalu besar bagi mereka yang berpuasa
atau beribadat padanya. Ulama menyatakan, janji yang terlalu besar tidak
sepadan dengan amalan yang dilakukan. Hal ini menunjukkan kemungkinan
hadis itu dusta atau palsu.
Bagaimanapun, tiada hadis yang melarang umat Islam berpuasa pada Rejab. Oleh
itu, hukum berpuasa sunat dalam bulan ini sama saja dengan berpuasa pada
bulan lain, seperti puasa pada Isnin dan Khamis atau tiga hari dalam sebulan.
Sehubungan itu, penyebaran hadis daif dan palsu mengenai kelebihan Rejab
ini hendaklah dihentikan agar jangan sampai masyarakat melakukan sesuatu
amalan dengan harapan akan mendapat pahala, sedangkan dosa besar pula yang
diperoleh akibat menyebar dan beramal dengan hadis palsu seperti ini.
No comments:
Post a Comment