Thursday 20 February 2020

16 RAMD juara UKMHK

Batalion Ke-16 Rejimen Askar Melayu Diraja (16 RAMD) berjaya menjadi johan Ujian Kemahiran Merentas Halangan dan Kawad (UKMHK) Peringkat Dua Divisyen Infantri (2 Div Inf) Tahun 2020 yang berlangsung selama tiga hari di Kem Desa Pahlawan dan Lapang Sasar Bukit Merbau

Objektif UKMHK diadakan adalah untuk menguji pegawai dan anggota LLP di dalam aspek kepimpinan, kawalan, ketahanan mental dan fizikal, keyakinan diri dan kerjasama di dalam kumpulan disamping memupuk semangat setiakawan di kalangan anggota.

Pertandingan seperti ini mampu membina dan membentuk semangat kerjasama serta kefahaman antara anggota dalam pasukan.

Di samping itu, ianya juga menggalakkan anggota dalam kumpulan menggunakan daya ikhtiar dan inisiatif sendiri bagi mengatasi pelbagai halangan.

Pada peringkat 2 Div Inf, 16 RAMD mewakili Briged Kelapan Infantri (8 Briged Inf) setelah keluar johan peringkat berkenaan. Dengan kemenangan di peringkat 2 Div Inf, ini bermakna 16 RAMD akan mewakili 2 Div Inf ke peringkat Tentera Darat (TD).

Satu perarakan meraikan anggota yang berjaya menjadi johan telah diadakan di pasukan berkenaan yang berpangkalan di Kem Desa Pahlawan, Bukit Cina bertujuan untuk menghargai dan meraikan anggota-anggota yang bertungkus lumus sehingga mencipta kejayaan yang dibanggakan itu.

Perarakan tersebut secara tradisinya diiringi oleh Platun Serunai 16 RAMD serta seluruh warga batalion.

- Gambar dari Sel Risik 16 RAMD

1 comment: