Sunday 1 March 2020

ALIRAN MUZIK MEROSAKKAN


Agama Islam tidak melarang penganutnya menikmati muzik yang menjadi sebahagian sumber hiburan masyarakat sekarang ini. Bagaimanapun kita perlu berhati-hati agar tidak terjebak dengan aliran muzik yang membawa kepada gejala tidak baik, lebih-lebih lagi yang membawa kepada penyelewengan akidah.

Banyak pihak yang berusaha menjadikan muzik sebagai cara memesongkan akidah dan pegangan umat Islam. Malah, muzik dan hiburan dikatakan cara paling berkesan untuk melalaikan manusia daripada mengingati Allah.  

Contoh pengaruh muzik yang nyata bertentangan dengan ajaran Islam yang pernah menyerang di seluruh dunia pada dekad lalu ialah Black Metal. Di negara kita, pengaruh aliran muzik ini diminati golongan muda yang mencari kelainan berbanding aliran muzik lain.  

Sebenarnya, Black Metal bukan sekadar sebagai satu aliran muzik tetapi juga fahaman yang merosakkan akidah.

Pengikut Black Metal mengamalkan unsur seperti anti-Tuhan, antisosial dan antiagama. Mereka berpegang kepada sifat pemberontakan dan kebebasan.  Unsur ini menggugat pegangan agama dan budaya yang didokong masyarakat kita.    

Black Metal adalah antara cabang genre muzik metal yang menampilkan konsep ekstrem, bertemakan fantasi, cerita rakyat serta mistik yang berunsurkan kesyaitanan, anti tauhid, kegelapan dan kekejaman. 

Dalam Black Metal ada beberapa cabang atau subgenre. Manakala subgenre pula lahir beberapa cabang lagi yang memberi kelainan berkaitan konsep lagu, irama dan lirik. Ada juga memperlihatkan perbezaan dari segi tahap ekstrem.

Sebenarnya, tidak kira dari cabang Black Metal mana, hakikatnya mereka adalah daripada satu rumpun yang memperlihatkan unsur-unsur yang sama. Pada mulanya mereka terlibat dalam cabang yang agak sederhana. Konsep persembahan juga lebih terbuka dan masih bercirikan hiburan.

Sebab itu, banyak orang tidak menyedari dirinya telah terjebak dalam Blak Metal.  Mereka menafikan mereka adalah pengikut Black Metal. Hakikatnya, banyak ciri Black Metal yang mereka banggakan. 

Atau, jikapun mereka mengaku pengikut aliran muzik Black Metal, mereka menolak diri telah terpesong. Mereka mendakwa masih mengikut ajaran agama dan nilai budaya. Mereka ini sebahagian pengikut aliran sederhana yang berasaskan hiburan semata-mata.  

Melalui aliran sederhana Black Metal inilah pengikut genre ekstrem akan mencari pengikut baru. Golongan remaja memang mudah terpengaruh dengan kehidupan berhibur, luarbiasa dan mendapat perhatian ramai.

Sekali terjebak Black Metal, tidak sukar untuk mereka menerima mana-mana genre Black Metal yang lebih ekstrem.  

Black Metal sebenarnya memperjuangkan untuk siapa menjadi paling gila.  Mereka melakukan tindakan ekstrem yang gila. Semuanya untuk menjadi lebih terkenal dan mempunyai pengikut yang sanggup gila bersama-sama mereka.

Kumpulan Black Metal di luar negara boleh mempamerkan aksi gila mereka di atas pentas. Mereka turut melakukan aktiviti ritual yang menakutkan.  Ini semua bertujuan untuk menampakkan mereka lebih hebat berbanding yang lain.

Pengikut Black Metal ektrem tidak lagi sekadar memperkenalkan diri mereka dalam bentuk meminati hiburan Black Metal. Mereka telah sesat jauh dalam aktiviti lain. Apa yang dilakukan melampaui norma kemanusian dan bertentangan dengan amalan biasa masyarakat bertamadun.

Kumpulan Black Metal yang berteraskan kepada kesyaitanan, mistik, ghaib dan supernatural menolak semua fahaman agama dan nilai-nilai murni. Amalan yang dibenci oleh manusia kebanyakan adalah perkara paling disukai pengikut Black Metal. 

Pengikut Black Metal melakukan upacara pemujaan, iaitu memuja kambing hitam, meminum darah kambing hitam, memuja syaitan dan mentera lain.   

Pengikut Black Metal di Barat yang beragama Kristian akan memakai lambang salib yang diterbalikkan. Itu tandanya mereka menolak agama Kristian dan semua agama lain. 

Atas dasar itulah, di negara kita, pengikut Black Metal memperkenalkan fahaman Jangan Ikut Tuhan (JIT). Sebagai tanda mereka pengikut Black Metal dan berpegang kepada JIT, salah satu upacara ritual yang dilakukan ialah menghina al-Quran dengan cara mengoyak, mengencing, meludah, membakar dan dibuat sesuatu yang dilambangkan sebagai satu penghinaan terhadap al-Quran.

Majoriti mereka yang terjebak dengan kumpulan-kumpulan Black Metal adalah remaja. Ketua biasanya terdiri orang dewasa yang mengambil kesempatan terhadap kelemahan golongan remaja. 

Setiap kumpulan Black Metal dikatakan mempunyai ritual yang tersendiri.  Semangat untuk lebih hebat membuatkan pengikut kumpulan sanggup melakukan upacara ritual yang lebih ekstrem. 

Di Barat, sering berlaku tindakan ekstrem pengikut Black Metal dengan membakar gereja, rumah ibadat dan membunuh rakan sendiri sebagai tanda kesetiaan kepada kumpulan. Setiap episod kegilaan kumpulan Black Metal berbeza-beza bagi membuktikan tahap yang lebih ekstrem berbanding sebelumnya.     

Black Metal semakin dilupakan. Namun, pengajaran kisah ancaman aliran muzik tidak pernah padam. Justeru, kita perlu berhati-hati terhadap setiap gerne muzik yang dilihat berlainan daripada kebiasaan. Orang mudah tertarik kepada yang mempunyai kelainan kerana dikatakan boleh mengubah bentuk muzik yang sama, kaku dan tidak mencabar.

No comments:

Post a Comment