Tuesday, 24 December 2019

JUAL SIMPATI LEBIH SENANG DAPAT UNTUNG

Satu cerita atau catatan di laman sosial yang patut anda baca yang menyentuh mengenai “mindset”

Begini ceritanya ... aku berniaga menjual buah Nanas MD2 potong dan jus nanas. 

Aku seronok dan tidak segan untuk menjual nanas di jalanan dan kaki lima.

Melalui berniaga di jalanan dan kaki lima, aku dapat melihat dan merasai sedikit sebanyak perit jerih peniaga jalanan dan ragam-ragam pelanggan.

Pengalaman aku berniaga di kaki lima Maybank Seksyen 9 BB Bangi, aku dapat melihat betapa lebih menguntungkan mencari 'perniagaan' berupa simpati dan sentimen.

Lebih kurang jam 8.30 malam, setiap kali aku sampai, akan kelihatan dua orang dari Selatan Thai yang berpangkat pak cik dan mak cik memakai kopiah, kain pelekat, tudung labuh dan sanggup duduk langsung di atas lantai kaki lima. Memang nampak kesian. Berkesan sungguh kesan emosi pada orang lain hanya dengan taktik duduk atas lantai. Padahal kotor lantai tu.

Yang mak cik tu akan letaklah keropok (tak berkualiti dan murahan) atas lantai. Tak susun elok-elok pun, macam tak minat jual sangat pun. Yang pak cik pula, bawa bam (takde kualiti dan murahan) dalam beg kecil kononnya sebagai barang perniagaan. Harga yang dijual RM10 sangat tidak setimpal dengan kualiti barang yang dijual. 

Mereka sentiasa datang awal dan akan port betul-betul di kiri kanan pintu masuk bank. Terpaksalah aku pergi jauh dari lokasi strategik yang mereka sudah ambil.

Kalau dibandingkan bisnes model aku dengan mereka, jauh lebih sukar bisnes aku sebab untuk aku set up booth sahaja akan mengambil masa 20 minit. 

Selepas itu, aku kena angkat 2-3 bakul berisi nanas seberat 50-100 kilogram, peti sejuk beku  polystrene berisi nanas potong dan jus, penimbang digital, 3 keping plywood untuk letak nanas, tisu, baldi kecik isi air, beg plastik dan lain-lain. 

Itu belum diambil kira proses persediaan sebelumnya iaitu proses mengupas kulit nanas, membuang mata nanas dan sebagainya. 

Kesimpulannya, bisnes model aku berteraskan kualiti, harga berpatutan dan usaha yang gigih. 

Berlainan 'perniagaan' berteraskan simpati pak cik dan mak cik itu begitu laris. Boleh kata ada saje pelanggan yang 'mencampakkan' 10 ringgit, 5 ringgit kepada mereka. Yang lebih menakjubkan, pelanggan tidak mengambil apa-apa pun barang jualan mereka. Ajaib sungguh. Duit masuk, barang tak keluar. 

Sedang aku pula, walaupun nanas MD2 aku sedap, berkualiti dan hanya dijual harga RM6, pelanggan akan bertanya macam-macam dan membuat muka serius sebelum membeli. Itupun hanya dibeli setelah aku berjaya memberi layanan dan penerangan yang dapat meyakinkan mereka.

Ada juga insiden di mana, seorang pelanggan muslimah siap berniqab ini baru keluar bank dan terus meluru ke booth nenasku, kusangkakan nak beli nanas, rupa-rupanya nak tukar duit saje. Tanpa berfikir, aku pun menukarkan duit RM10 dia kepada RM5 dua keping. 

Ingatkan untuk apa, rupa-rupanya diberikan RM5 itu kepada setiap seorang pak cik dan mak cik bersila atas lantai itu tanpa mengambil satu barang jualan pun. 

Dari 8.30 sehingga 9.30, aku anggarkan pendapatan PakCik Makcik itu boleh mencecah RM150 setiap seorg. Sungguh lumayan. Hanya dalam 1 jam. Sedang aku masih terkial-kial nak buat sales RM30 sahaja pun. 

Aku perati, dekat jam 12 malam (ATM tutup), akan sampai satu TOYOTA HILUX plate Thailand letak jauh sikit. Ada budak kecik pergi ke pak cik dan mak cik tu untuk menjemput. 

Bisnes model menagih simpati dan 'agama' sangat berjaya di dalam pasaran orang Melayu di serata lokasi. Orang Melayu memang 'cerdik'.

Muka aku sebijik macam Cina. Orang Cina pun ingat aku Cina. Jadi, kalau aku jaga booth aku, orang Melayu tengok atas bawah dari jauh. Payah nak singgah membeli. Apa nak buat. 

Jadi, walaupun aku paling tak suka 'menunggang' agama, aku terpaksa pakai kopiah semasa berniaga. Analisa aku menunjukkan, jumlah sales sangat jauh berbeza apabila aku memakai kopiah dengan apabila aku tidak berkopiah.

Jualan jatuh teruk apabila aku tertinggal kopiah aku kat rumah. Pelik. 

No comments:

Post a Comment