Thursday 7 June 2018

PENIAGA MERCUN MELAKU DOSA

Bunyi mercun dan bunga api semakin banyak meletup di sana sini pada setiap malam menjelang sambutan Aidlfitri dan sambutan Syawal. Biarpun pihak berkuasa melipatgandakan usaha mencegah penyeludupan, namun masih banyak terdapat mercun dijual kepada orang ramai.

Penjual mendapat bekalan mercun dari penyeludup yang tidak serik dan licik menyeludup mercun terutama dari negara jiran kerana kedudukan negeri Kelantan yang bersempadan negara jiran.

Penyeludupan mercun yang berleluasa berlaku disebabkan keuntungan yang besar diperoleh oleh mereka yang terlibat dalam penyeledupan dan peniagaan mercun ini.

Permintaan yang tinggi terhadap mercun pada musim perayaan memberi pulangan yang lumayan kepada penyeludup dan peniaga mercun.  

Permintaan terhadap mercun akan berkurangan jika masyarakat sedar mengenai bahaya bermain mercun terutama melibatkan kanak-kanak, selain perbuatan itu ditegah oleh agama.

Islam mengharam segala bentuk perbuatan yang mendatang bahaya dan merugikan.  

Mereka yang terlibat dalam perniagaan mercun sepatutnya sedar bahawa keuntungan yang diperoleh itu bakal menyebabkan kecelakaan kepada orang lain. 

Keuntungan menyeludup atau menjual mercun sebenarnya haram dan boleh disamakan seperti mengedar dadah. Mereka melakukan dosa menjual barang yang mendatangkan bahaya dan diharam di sisi undang-undang.

Sesiapa yang makan hasil pendapatan haram, maka dia akan mendapat kutukan daripada Allah dan bakal mendapat kecelakaan di dunia mahupun di akhirat. 

Tindakan lebih berat perlu dikenakan terhadap mereka yang terlibat dalam penyeludupan dan penjualan mercun. Mereka ini hanya mementingkan keuntungan, tetapi tidak memikirkan kecelakaan yang boleh berlaku akibat bermain mercun.

No comments:

Post a Comment