Sunday, 10 June 2018

MENGAPA WANITA ISLAM DIHARAM SERTAI RATU CANTIK

Terdapat fatwa di Malaysia mengharamkan penyertaan wanita Islam dalam pertandingan ratu cantik. Fatwa melarang orang Islam menyertai pertandingan ratu cantik telah dibuat oleh pihak berkuasa mengeluarkan fatwa. Antara fatwa tersebut seperti diwartakan pada 8 Februari 1996 mengikut Seksyen 34 Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam Wilayah Persekutuan 1993 yang menjelaskan menyertai pertandingan ratu cantik kerana perbuatan itu haram dan berdosa.

Lanjutan itu, sesiapa yang menentang atau melanggar fatwa tersebut melalui kenyataan atau perbuatan itu boleh didakwa mengikut Seksyen 7 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 (Akta 559) kerana menghina atau menyebabkan Islam dipandang hina.

Manakala, Enakmen Pentadbiran Perundangan Islam Negeri Selangor mengenai fatwa tentang penyertaan wanita Islam dalam pertandingan ratu cantik telah diwartakan mengikut Warta Kerajaan Negeri Selangor Jil. 48 No. 10 bertarikh 11 Mei 1995 ["Adalah haram bagi wanita Islam menyertai apa-apa jenis pertandingan ratu cantik" - Fatwa itu dibuat pada 28 April 1995 (JAI. Sel. 8014/7 Jilid III; P.U. Sel. 2780)].

Dengan kata lain, fatwa mengenai haram menyertai ratu cantik memang telah lama dikeluarkan. Berdasarkan itu, sesiapa melanggar fatwa boleh didakwa melalui peruntukan yang telah ditetapkan. 

Namun begitu, setakat ini di Malaysia belum mempunyai peruntukan undang-undang yang melarang penglibatan gadis Islam menyertai pertandingan sedemikian. Untuk memberi satu status undang-undang secara jelas, dicadangkan agar satu peruntukan seksyen berkaitan kesalahan menyertai pertandingan ratu cantik sebagai satu kesalahan jenayah syariah. 

Peruntukan sebagai satu kesalahan jenayah syariah diharapkan dapat mengelak polimik mengenai kedudukan dan kesalahan berkaitannya. Sebelum ini terdapat pihak membuat provokasi dan spekulasi terhadap isu fatwa pengharaman ratu cantik kepada orang Islam.

Mereka mempertikaikan kedudukan institusi fatwa dari sudut perundangan.  Mereka mempersoalkan bagaimana fatwa boleh menjadi undang-undang secara automatik tanpa melalui proses perundangan dan ini telah mencabuli kebebasan asasi seseorang.

Tindakan pihak berkenaan ternyata tidak merujuk kepada undang-undang dalam Perlembagaan Persekutuan.

Adalah tidak timbul dakwaan wujudnya diskriminasi dalam fatwa atau hukum yang dikeluarkan sama ada berasaskan gender, double standard atau sebagainya jika kita benar-benar memahami nas-nas syarak tentang hukum itu.

Dalam membicarakan hukum-hakam Islam, semua pihak, perlu ingat bahawa tidak boleh dibahaskan sewenang-wenangnya oleh golongan tidak berkelayakan dalam bidang agama kerana boleh menimbulkan kacau-bilau dan salah faham terhadap ajaran Islam sehingga mencalarkan maruah agama dan umat Islam seluruhnya.

Jika orang Islam dilarang dari berjudi, tidak dibenarkan membeli loteri, masuk tempat perjudian dan boleh dihadapkan ke mahkamah syariah, maka fatwa melarang wanita Islam mengambil bahagian dalam pertandingan ratu cantik perlu diperundangkan supaya tindakan boleh diambil terhadap peserta dan penganjur.

Haram tetap haram, tanggungjawab menjaga maruah agama Islam itu terletak di atas bahu setiap umatnya, jika sudah terang ia bertentangan dengan hukum agama mengapa perlu bangga melakukannya. Walaupun pilihan itu adalah hak individu, ia ada kaitan dengan maruah individu, masyarakat dan agama Islam itu sendiri.

Isu wanita muslim dilarang menyertai pertandingan ratu cantik memang jelas dilarang oleh Islam. Sebagai seorang yang beragama Islam, menjadi kewajipan mereka mematuhi hukum Allah atau menghindarkan diri daripada terjebak dengan perlakuan yang bersalahan dengan hukum ditetapkan secara qati'e dalam al-Quran dan hadis.

Kita tidak akan habis memperkatakan polemik selagi ada pihak yang mahu 'menegakkan benang basah'. Maksudnya, berusaha mencari alasan memenangkan perkara yang sudah jelas-jelas salah. Kerana itu sudah keluar dari mulut gadis Islam terbabit "kenapa sukan gimnastik atau renang yang lebih seksi pemakaiannya boleh, kami pula peserta ratu cantik tak boleh".

Kalau nak cari alasan untuk 'menghalalkan' perkara yang salah, 1,001 alasan pun boleh dicari, hatta sebesar kuman pun.

Perbuatan mendedahkan aurat tidak kira lelaki atau perempuan memang dilarang dalam agama Islam. Kalaupun sesetengah peserta atau pihak menyatakan bahawa penglibatan mereka dalam mana-mana pertandingan ratu cantik tidak mempunyai kaitan dengan orang lain, atau ia hanya soal dosa pahala antaranya dengan Tuhan semata-mata, itu amat tidak tepat. Ini kerana konsep penutupan aurat bukan sekadar melibatkan hubungan hamba dengan Tuhan, tetapi ia juga bertujuan untuk memelihara iman orang lain.

Atas dasar ini jugalah mengapa undang-undang diwujudkan, iaitu untuk memelihara ketenteraman awam dengan mencegah akhlak yang buruk tidak berlaku dan diperlihatkan kepada umum.

Pertandingan ratu cantik yang melibatkan peserta Islam dilarang kerana perbuatan-perbuatan yang menjolok mata dan sangat bertentangan dengan akhlak Islam akan menyebabkan masyarakat Islam keseluruhannya berasa amat tersinggung.

Islam telah membataskan batasan aurat yang sepatutnya harus ditutupi oleh wanita Muslim iaitu dari pusat sampai ke lutut sesama wanita Muslim. Sedangkan aurat yang harus ditutup oleh wanita Muslim daripada pandangan wanita bukan Muslim adalah seperti penutupan yang harus dilakukannya terhadap lelaki yang bukan mahramnya.

Lihatlah betapa acara ratu cantik ini begitu bertentangan dengan ajaran Islam dan juga menjadi satu penghinaan ke atas martabat dan maruah golongan wanita khususnya wanita Islam apabila anggota badan mereka dengan senangnya ditonton oleh orang ramai tidak kira agama atau jantina dan dinilai kecantikannya oleh juri tertentu.

Isu ini sudah lama bermain di negara-negara Islam. Namun adakah dengan 'pertabalan' ratu cantik Islam ini akan membuka jalan atau peluang kepada remaja-remaja Islam lain untuk turut sama mengorak langkah menyertai mana-mana pertandingan ratu cantik kelak?

Cukup merisaukan andai perkara ini boleh mempengaruhi pemikiran anak muda zaman sekarang yang mana sememangnya buta dalam menilai halal haram sesuatu perkara.

Inilah kejayaan besar buat negara Barat dan musuh-musuh Islam kerana kehalusan dan kelicikan perancangan mereka yang sukar dihidu yang pada akhirnya akan memusnahkan identiti masyarakat Islam itu sendiri.

Tatarstan, sebuah negara di ceruk timur Eropah suatu masa lalu pernah mengadakan pertandingan ratu cantik yang melibatkan seramai 56 orang peserta, semuda usia 15 tahun yang bertudung. Peserta dinilai bukan atas dasar kecantikan rupa dan tubuh badan tetapi dinilai berdasarkan kecerdikan serta pengetahuan agama Islamnya.

Yang penting lagi, semua barisan juri dan penontonnya adalah terdiri daripada wanita. Pernah seorang Mufti Mesir, Sheikh Mohammed Farid Wassel menganggap pertandingan seperti di Tatarstan itu menjadi landasan penting mencari wanita Muslim yang benar-benar layak digelar wanita solehah dan menjadi ikutan gadis Islam lain.

Wanita hari ini perlu membuka mata selebar-lebarnya kerana banyak alternatif yang telah Islam anjurkan dan gariskan terutama yang menyentuh berkaitan keterlibatan wanita dalam pelbagai pertandingan terutamanya ratu cantik dan seumpamanya

Pihak yang berwajib juga haruslah memainkan peranan yang sepatutnya dalam memastikan isu umat Islam khususnya wanita Islam tidak lagi diperkotak-katikkan dan dijaga maruah serta martabatnya di mata masyarakat lain.

Kita tidak menghalang wanita untuk menyertai apa sahaja bentuk pertandingan, asalkan pertandingan itu tidak bertentangan dengan apa yang telah Islam gariskan. Begitu juga dengan isu pertandingan ratu cantik.

No comments:

Post a Comment