Wednesday 20 June 2018

AMBIL PENGAJARAN CARA HIDUP RAKYAT NEGARA MAJU

Perbezaan negara kaya dan miskin tidak terletak pada adanya sumber asli. Ada negara miskin sumber, namun mampu menjadi negara kaya dan produktif. Sebaliknya ada negara kaya sumber asli, namun terpaksa bergantung kepada negara lain untuk membangunkan dan keadaan negara yang tidak selamat disebabkan perperangan berebut kekayaan.

Jepun wilayah yang terhad. Kira-kira 80% kawasan negara Jepun adalah pergunungan. Aktiviti pertanian di negara Jepun agak terhad kerana kawasan tidak sesuai untuk bercucuk tanam. Dalam keterbatasan sumber, Jepun berjaya menjadi kuasa ekonomi dunia kedua terbesar. Negara Jepun umpama kilang terapung mengimpot bahan mentah dari serata dunia dan mengekspot kembali hasil perkilangan sebagai sumber pendapatan utama negara.

Di negara Switzerland tidak ada kawasan tanaman koko. Namun, hebatnya Switzerland menjadi pengeluar coklat terbaik dunia. Dalam wilayah kecil negara Switzerland, kawasan tanah pertanian dan penternakan hanya mampu dikerjakan selama empat bulan sahaja setahun. Selebihnya negara tersebut diliputi salji atau cuaca yang tidak sesuai untuk pertanian. Namun, hebatnya Switzerland mampu mengeluarkan produk tenusu yang paling bagus. Switzerland sebuah negara kecil mempunyai imej keselamatan tertinggi hingga menjadikannya bank di negara tersebut paling diyakini penduduk seluruh dunia.

Jika diteliti dan dikaji, kejayaan kedua-dua negara tersebut bergantung kepada nilai tinggi prinsip hidup rakyatnya. Warganegara di negara tersebut menjunjung tinggi prinsip hidup masyarakat tamadun.

Prinsip atau rukun hidup yang diamalkan adalah:
- Etika sebagai prinsip asas.
- Berintegriti.
- Bertanggungjawab.
- Hormat pada undang-undang dan peraturan.
- Hormat kepada hak majoriti rakyat.
- Cinta pada pekerjaan/bekerja.
- Berusaha untuk menyimpan dan melabur.
- Ada kesanggupan untuk bekerja dan menjadi produktif.
- Menepati masa.

Segala asas dan prinsip itu sebenarnya menepati apa yang diajar oleh Islam. Namun, di kalangan umat Islam sendiri tidak mengamalkan apa yang disuruh oleh ajaran Islam.

Negara umat Islam sebenarnya kaya dengan sumber minyak dan sumber-sumber lain. Negara Islam berpotensi maju dan mengawal ekonomi dunia. Namun, sikap tidak mematuhi tuntutan agama, peluang yang tersedia tidak dimanfaatkan sepenuhnya. Malangnya, umat Islam menjadi umat termundur dan miskin.

No comments:

Post a Comment