Pada permulaan perbahasan berkenaan tajuk ikhlas
dalam Ihya’ ‘Ulum al-Din, Imam al-Ghazali menjelaskan kelebihan dan kepentingan
keikhlasan dengan membawakan firman Allah SWT dalam surah al-Bayyinah ayat 5
yang bermaksud: “Pada hal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah
Allah dengan mengikhlaskan ibadat kepadaNya, lagi tetap teguh di atas tauhid,
dan supaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat. Dan yang demikian
itulah agama yang benar.”
Firman Allah SWT dalam surah al-Nisa ayat
146 yang bermaksud: “Kecuali orang-orang yang bertaubat (dari perbuatan munafik
itu) dan memperbaiki amalan mereka (yang salah), dan mereka pula berpegang
teguh kepada (agama) Allah, serta mengerjakan agama mereka dengan ikhlas kerana
Allah.”
Lawan bagi ikhlas ialah sesuatu yang
bergilir-gilir berada di hati manusia yang mana ia berkaitan dengan niat.
Apabila niatnya sudah bercampur-campur dengan sesuatu yang lain, maka ia tidak
dianggap ikhlas lagi dan dianggap riak.
Justeru, ikhlas merupakan perbuatan yang
tinggi martabatnya. Manakala niat pula menjadi kunci ibadat. Berniat untuk
melakukan sesuatu dan seikhlas hati, merupakan dua perkara yang berbeza tetapi
saling berkaitan.
Jika berniat melakukan sesuatu tanpa
kejujuran, sudah tentu tidak beroleh keikhlasan, sedangkan ada juga bentuk
amalan yang mendapat ganjaran mesti bermula dengan ikhlas.
Tanpa keikhlasan sudah tentu apa yang
dilakukan itu hanya sia sia belaka meskipun perbuatan itu baik. Ini ditegaskan
dalam sebuah hadis Rasulullah SAW bermaksud: " Sesungguhnya Allah tidak
menerima perbuatan kecuali amal perbuatan yang diniatkan dengan ikhlas demi
meraih reda-Nya." (Hadis riwayat Nasai).
Orang yang ikhlas melakukan sesuatu kerana
Allah SWT tidak akan rugi apa apa, malah keikhlasan yang kecil itu akhirnya diganjari
pahala. Manakala melakukan sesuatu kerana hendak menunjuk nunjuk, akan
menyebabkan amalan yang besar menjadi semakin kecil dan lenyap begitu sahaja.
Selain niat yang ikhlas sebagai jalan untuk
mendapatkan ganjaran, kita mestilah mengamalkan sifat amanah, jujur dan
sentiasa mematuhi peraturan supaya apa yang dilakukan itu diterima Allah SWT.
Disebabkan itulah, adakalanya kita lihat
bagaimana seseorang itu sangat cemerlang dalam perkara yang dilakukan kerana
berpandukan batasan yang ditentukan.
Allah SWT juga memandang tinggi kepada
mereka yang ikhlas dalam apa jua perkara selagi ia ke arah kebaikan meskipun
hanya ingin berjumpa dengan saudara atau kenalan.
Yakinlah, setiap perbuatan yang dilakukan
dengan ikhlas tanpa mengharapkan balasan telah tersedia ganjaran yang besar
melimpah ruah.
No comments:
Post a Comment