Tuesday 14 February 2023

TUJUAN DAKWAH TARIK ORANG LAKUKAN KEBAIKAN

 
Apabila berlaku perkara salah berkaitan agama, maka banyak pihak akan bercakap untuk menyalahkan pihak-pihak tertentu. Lebih parah jika ia turut melibatkan isu politik. Maka, berduyung-duyunglah penyokong politik yang menuduh sana dan bercakap itu dan ini sehingga lupa isu sebenarnya. Ia telah bertukar menjadi isu politik pula.
 
Sepatutnya apabila berlaku sesuatu perkara yang buruk, kita perlu muhasabah diri. Tanya diri sendiri apa yang sepatutnya kita lakukan. Apakah perkara itu berlaku ada kaitan dengan kita atau tidak.
 
Untuk mencegah perkara buruk atau kesalahan berkaitan agama bukan tanggungjawab pemimpin semata-mata. Dakwah adalah tanggungjawab semua pihak, lebih-lebih lagi mereka yang terlibat secara langsung dalam gerakan dakwah.
 
Mereka yang bergelar pendakwah atau ustaz, apabila berlaku perkara kesalahan berkaitan agama, jangan mudah menyalahkan pihak lain. Sebaliknya fikirkan tentang apa yang telah dilakukan, sedang dilakukan dan apa akan dilakukan.
 
Jika masih berlaku sesuatu yang buruk, maka yakinlah bahawa apa yang telah dilakukan selama ini tidak berkesan, tidak menyeluruh atau tidak berjaya. 

Bukan untuk menyalahkan para pendakwah tentang kegagalan itu, tetapi satu peringatan bahawa kerja-kerja dakawah perlu dilakukan dengan lebih gigih dan menyeluruh.

Seorang guru tidak akan menceritakan tentang kegagalan anak muridnya, kerana itu juga tanda kegagalannya.
 
Jangan kita menyalahkan mana-mana pihak, tetapi fikirkan apakah yang perlu kita lakukan untuk menjadikan ia lebih baik.
 
Tidak perlu kita jadikan isu politik sedangkan ia tanggungjawab kita semua untuk memperbaikinya.

No comments:

Post a Comment