Thursday 2 March 2023

Syarikat Jepun berminat melabur di Kelantan

 
Menerima kunjungan delegasi dari Ohgi Technological Creation Co (Ohgi) dari negara Jepun diwakili oleh Pengasas Ohgi, Mr Takehiko Ohki, Pengasas Bersama Ohgi, Mr Ryuichiro Kuboshima dan syarikat bersekutunya J Global Trading Sdn Bhd.
 
Ohgi Technological Creation Co (Ohgi) yang berpangkalan di Tokyo, Jepun memberikan fokus kepada pembangunan produk berasaskan karbon yang digunakan dalam bidang perubatan, makanan, pembinaan dan sebagainya.
 
Ohgi juga banyak terlibat dengan R&D bersama Universiti Ryukoku bagi membangunkan pelbagai produk baru yang berasaskan karbon. Setakat ini, pihak Ohgi memegang sebanyak 181 patent bagi pelbagai jenis produk dan rekaan.
 
Pihak Ohgi berminat untuk melabur sejumlah RM140 juta di Negeri Kelantan bagi membina kemudahan Sistem Pengkarbonan Sisa Plastik dan Pengurangan Isi Padu yang akan menghasilkan karbon diaktifkan
 
Bahan ini akan digunakan sebagai bahan utama untuk menghasilkan produk seperti plate karbon, elektrod yang akan digunakan dalam kapasitor, penapis pelbagai gred, penebat haba dan pelbagai lagi produk yang menggunakan karbon sebagai bahan asas.
 
Pihak Ohgi juga berhasrat untuk bekerjasama dengan pihak Pengurusan Sisa Pepejal Mubaarakan Sdn Bhd (PPSMP), yang merupakan Syarikat Bersekutu Kelantan Utilities Mubaarakan Holdings Sdn Bhd (KUM) bagi menaik taraf sistem pengurusan tapak pelupusan di Daerah Tanah Merah, Pasir Mas dan Machang.
 
Dengan komponen projek yang dicadangkan seperti Kemudahan Sistem Pengkarbonan Sisa Plastik dan Pengurangan Isi Padu, Kemudahan Pemulihan Bahan, Pusat Pengumpulan Sisa dan Loji Rawatan Air Larut Resap ini, ianya dijangka dapat membantu memberi penyelesaian kepada masalah-masalah di tapak pelupusan yang terlibat di samping memberi nilai tambah kepada negeri seperti mewujudkan peluang pekerjaan, pemindahan teknologi kepada rakyat tempatan dan menambah pendapatan kepada Kerajaan Negeri Kelantan.
 
Pihak Ohgi turut berhasrat untuk melakukan kerjasama dengan universiti tempatan untuk turut serta dalam R&D yang dilakukan oleh Ohgi dan mencipta produk-produk baharu yang berasaskan karbon yang lebih sesuai untuk kegunaan industri tempatan.

No comments:

Post a Comment