Sesiapa saja boleh melakukan tugas dakwah,
asalkan apa yang diberitahu dan disurah itu satu kebaikan yang patut turut
dilakukan oleh orang lain. Untuk menjadi pendakwah tidak memerlukan satu
kedudukan yang tinggi, kekayaan, pangkat atau keturunan mulia baru boleh
melayakkan diri untuk berdakwah kepada orang lain.
Rasulullah SAW mengarahkan agar tugas
berdakwah dilakukan biarpun sekadar menyampaikan satu ayat. Sabda Rasulullah
SAW bermaksud: “Sampaikanlah daripadaku walaupun hanya satu ayat” (Hadis
riwayat Ahmad, Bukhari dan Tirmizi).
Setiap perkara yang didakwah mestilah
perkara yang benar, mendatangkan kebaikan dan menjauhkan keburukan. Jika kita
menyuruh atau melakukan perbuatan memunggut sampah yang dibuang merata-rata
juga sebahagian daripada dakwah yang mana semua orang sepatutnya melakukan
amalan mulia itu.
Menegur seseorang agar tidak melakukan
perbuatan ditegah juga adalah dakwah, biarpun sekadar berkata ‘jangan’ kepada
sesuatu perkara yang tidak sepatutnya dilakukan oleh orang itu.
Tugas dakwah penting dilakukan sepanjang
masa memandangkan manusia tidak terlepas daripada melakukan kesalahan dan dosa.
Sesuatu dakwah mungkin perlu dilakukan berulang-ulang kali kepada orang yang
sama.
Sifat manusia mudah lupa dan tergoda
melakukan perbuatan yang mendatangkan keseronakan, tetapi itulah yang
mendatangkan keburukan kepada diri dan orang lain. Jadi, tugas dakwah tidak
hanya terhenti apabila telah menyatakan sekali kepada sasaran yang didakwah
itu.
Sebab itu juga, kita memerlukan lebih
banyak orang yang bersedia menjadi pendakwah dan bukannya yang perlu didakwah.
Amalan nasihat dan menasihat perlu dijadikan amalan dalam kehidupan masyarakat
untuk mengelak kerugian.
Firman Allah SWT bermaksud: “Demi masa.
Sesungguhnya manusia itu benar-benar berada dalam kerugian, kecuali orang
beriman dan mengerjakan amal soleh dan nasihat menasihati supaya mentaati
kebenaran dan nasihat menasihati supaya menetapkan kesabaran” (Surah al-Ashr,
ayat 1-3).
Kita memang perlu mengambil berat tentang
apa yang berlaku di sekitar kita kerana ia secara tidak langsung memberi kesan
kepada kita juga. Ini bukan soal menjaga tepi kain atau menjadi kaki sibuk,
tetapi satu keperluan untuk kebaikan semua.
Yang menjadi pendakwah mesti melakukan
secara jujur atas niat mebuat kebaikan, bukan sekadar ingin mencari kesalahan
orang lain. Manakala yang didakwah pula hendaklah menerimanya dengan hati dan
fikiran yang terbuka.
Setiap orang perlu menerima teguran dengan
seadanya. Jika benar telah lakukan kesalahan, perbetulkan segera dan berterima
kasihlah kepada mereka yang menegur itu.
Sebaliknya, jika apa yang dicuba
diperbetulkan itu sebenarnya tidak ada apa yang harus diperbetulkan kerana ia
sememangnya telah baik atau tidak mendatangkan keburukan, anggaplah ia salah
faham.
Kesalahan dilakukan seseorang jika tidak
diperbetulkan akan turut memberi kesan kepada orang lain. Sebab itu ia tidak
boleh dianggap urusan individu semata-mata. Sebaliknya ia adalah
permasalah seluruh anggota masyarakat yang perlu ditangani sebaik
mungkin.
Setiap kemungkaran yang berlaku perlu
dicegah segera biarpun nampak kecil Sebenarnya yang kecil perlu diberi
keutamaan untuk dicegah kerana lebih mudah.
Oleh itu, dalam menjalankan dakwah,
kesabaran hendaklah diutamakan untuk menjamin kelangsungan walaupun diejek,
ditentang dan diancam, tetap saja menyampaikan risalah Allah SWT kepada manusia
tanpa rasa marah atau kecewa.
Pendakwah seharusnya mengerti bahawa
tugasnya hanya menyampaikan, selebihnya adalah kuasa Allah SWT.
Firman Allah
SWT bermaksud: “Tidak ada kewajipan yang ditugaskan kepada Rasulullah selain
daripada menyampaikan (perintah Allah) saja; dan Allah sentiasa mengetahui apa
yang kamu lahirkan dan apa yang kamu sembunyikan.” (Surah al-Maidah, ayat 99).
No comments:
Post a Comment