Tuesday 2 August 2022

CARA NIAT SEIKHLAS HATI

  
Pada permulaan perbahasan berkenaan tajuk ikhlas dalam Ihya’ ‘Ulum al-Din, Imam al-Ghazali menjelaskan kelebihan dan kepentingan keikhlasan dengan membawakan firman Allah SWT dalam surah al-Bayyinah ayat 5 yang bermaksud: “Pada hal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadat kepadaNya, lagi tetap teguh di atas tauhid, dan supaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat. Dan yang demikian itulah agama yang benar.” 
 
Firman Allah SWT dalam surah al-Nisa ayat 146 yang bermaksud: “Kecuali orang-orang yang bertaubat (dari perbuatan munafik itu) dan memperbaiki amalan mereka (yang salah), dan mereka pula berpegang teguh kepada (agama) Allah, serta mengerjakan agama mereka dengan ikhlas kerana Allah.” 
 
Lawan bagi ikhlas ialah sesuatu yang bergilir-gilir berada di hati manusia yang mana ia berkaitan dengan niat. Apabila niatnya sudah bercampur-campur dengan sesuatu yang lain, maka ia tidak dianggap ikhlas lagi dan dianggap riak. 
 
Justeru, ikhlas merupakan perbuatan yang tinggi martabatnya. Manakala niat pula menjadi kunci ibadat. Berniat untuk melakukan sesuatu dan seikhlas hati, merupakan dua perkara yang berbeza tetapi saling berkaitan. 
 
Jika berniat melakukan sesuatu tanpa kejujuran, sudah tentu tidak beroleh keikhlasan, sedangkan ada juga bentuk amalan yang mendapat ganjaran mesti bermula dengan ikhlas. 
 
Tanpa keikhlasan sudah tentu apa yang dilakukan itu hanya sia sia belaka meskipun perbuatan itu baik. Ini ditegaskan dalam sebuah hadis Rasulullah SAW bermaksud: " Sesungguhnya Allah tidak menerima perbuatan kecuali amal perbuatan yang diniatkan dengan ikhlas demi meraih reda-Nya." (Hadis riwayat Nasai). 
 
Orang yang ikhlas melakukan sesuatu kerana Allah SWT tidak akan rugi apa apa, malah keikhlasan yang kecil itu akhirnya diganjari pahala. Manakala melakukan sesuatu kerana hendak menunjuk nunjuk, akan menyebabkan amalan yang besar menjadi semakin kecil dan lenyap begitu sahaja. 
 
Selain niat yang ikhlas sebagai jalan untuk mendapatkan ganjaran, kita mestilah mengamalkan sifat amanah, jujur dan sentiasa mematuhi peraturan supaya apa yang dilakukan itu diterima Allah SWT. 
 
Disebabkan itulah, adakalanya kita lihat bagaimana seseorang itu sangat cemerlang dalam perkara yang dilakukan kerana berpandukan batasan yang ditentukan. 
 
Allah SWT juga memandang tinggi kepada mereka yang ikhlas dalam apa jua perkara selagi ia ke arah kebaikan meskipun hanya ingin berjumpa dengan saudara atau kenalan. 
 
Yakinlah, setiap perbuatan yang dilakukan dengan ikhlas tanpa mengharapkan balasan telah tersedia ganjaran yang besar melimpah ruah.

No comments:

Post a Comment