Ulama
Islam sejak dulu lagi sudah mengupas persoalan salah faham umat Islam terhadap
Islam sehingga mereka tergamak menghalalkan keganasan, rusuhan dan pengeboman
atas nama Islam.
Islam amat jauh sekali daripada apa yang mereka tafsirkan sebagai jihad pada
jalan Allah. Konsep jihad menurut perspektif Islam amat luas dan suci
berdasarkan matlamat syariat yang digariskan Islam.
Di dalam Islam, peperangan jihad tidak akan berlaku melainkan jika terpaksa
iaitu apabila umat Islam dizalimi dan ditindas serta mereka ingin mempertahan
maruah mereka dan kesucian Islam daripada ancaman musuh Islam yang durjana.
Peperangan jihad sebenarnya langkah terakhir yang diharuskan syarak kepada umat
Islam dalam usaha mereka mempertahankan kesucian Islam daripada ancaman musuh
Islam selepas beberapa langkah atau pendekatan awalan tidak berhasil dalam
menangkis ancaman itu.
Inilah prinsip perjuangan Islam yang diasaskan oleh baginda Rasulullah SAW
untuk diteladani umat Islam selepasnya demi meneruskan kelangsungan Islam di
bumi Allah ini.
Di samping itu, selaras dengan kedudukan Islam sebagai al-Din bersifat rahmah,
Islam amat menganjurkan umatnya agar menggunakan pendekatan berhemah dan lemah
lembut sebelum memulakan langkah kekerasan.
Bukankah dakwah Islam tertegak atas landasan kata-kata yang lemah lembut
seperti dakwah yang dibawa oleh Nabi Musa dan Nabi Harun ketika menghadap
Firaun.
Kisah ini menyingkap pendekatan dakwah yang berhikmah, islah secara baik,
menganjurkan kebaikan dan mencegah kemungkaran biarlah berdasarkan garis
panduan yang ditetapkan Allah.
Apa juga bentuk kekerasan dan keganasan adalah dilarang Islam sama sekali,
terutama yang menyebabkan kemudaratan lebih besar kepada umum.
Ini bermakna pengeboman, rusuhan dan membakar harta awam yang berlaku sejak
akhir-akhir ini adalah haram di sisi Islam, sekali gus termasuk dalam kategori
perbuatan kerosakan yang disebut Allah sebagai al-fasad iaitu perbuatan
memerangi Allah dan Rasul-Nya yang akhirnya menyebabkan balasan cukup berat di dunia
dan akhirat.
Oleh itu, setiap Muslim wajib bermuhasabah dan mencermin diri sejauh mana
kefahaman terhadap Islam agar tidak tersasar daripada landasan Islam. Perlu
diinsafi bahawa Islam amat menganjurkan kedamaian dan kesejahteraan sejagat.
Tidak ada sama sekali istilah keganasan, rusuhan, pengeboman dan lain-lain lagi
dalam kamus Islam, malah Islam mengutuk keras sebarang bentuk kekerasan dan
tindakan keganasan yang menimbulkan kemudaratan besar kepada manusia sejagat.
No comments:
Post a Comment