Saturday 7 August 2021

KIBAR JALUR GEMILANG, BUKTI CINTA NEGARA

 
Bendera Jalur Gemilang lambang kemegahan rakyat Malaysia. Mengibarkan Jalur Gemilang tanda kita berbangga dengan negara kita. 
 
Justeru, diharapkan rakyat Malaysia dapat menterjemahkan solidariti dengan mengibarkan Jalur Gemilang, sempena bulan kemerdekaan sebagai tanda bersatu-padu melawan pandemik COVID-19. 
 
Melalui semangat cintakan negara yang sentiasa diperteguh, negara akan dapat mengekalkan kehidupan yang harmoni, saling mengasihi dan bersatu hati dalam kalangan rakyat walaupun berlainan kaum, agama dan latar belakang. 
 
Perkara ini penting lebih-lebih lagi kita masih berada dalam tempoh yang agak mencabar susulan wabak COVID-19. 
 
Mempunyai semangat cintakan negara yang tinggi dan dapat mengambil iktibar serta aspirasi daripada kepentingan meraikan bulan bersejarah ini yang menyaksikan negara kita mencapai kemerdekaan memberikan kita semangat untuk terus melawan wabak COVID-19. 
 
Kita dilahirkan di tanah air ini dan menjadi sebahagian warganegara yang bersumpah setia untuk mempertahankannya sehingga akhir hayat kita. 
 
Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia pada tahun ini masih mengekalkan tema 'Malaysia Prihatin' seperti tahun lalu. 
 
Ia seiring iltizam dan aspirasi berterusan kerajaan dalam menyemai rasa cinta rakyat kepada negara, selain menyemarakkan semangat kebersamaan ketika negara masih memerangi pandemik COVID-19, sejak lebih setahun lalu. 
 
Semangat juang yang tinggi pemimpin terdahulu dalam menuntut kemerdekaan, yang penuh ranjau dan berliku perlu dijadikan iktibar dan inspirasi, untuk berdepan musuh yang sukar dilihat dan lebih berbahaya itu. 
 
Sesungguhnya, selepas 64 tahun negara menikmati kebebasan dan kemerdekaan, amalan mengibar Jalur Gemilang perlu sentiasa dibudayakan dalam kehidupan seharian rakyat tanpa rasa malu dan janggal. 
 
Jalur Gemilang adalah lambang negara yang mampu membangkitkan semangat patriotisme dalam hati setiap rakyat Malaysia yang mencetuskan solidariti dalam mendepani apa jua cabaran yang mendatang. 
 
Marilah kita menyahut seruan kerajaan dengan mengibarkan Jalur Gemilang dengan penuh rasa bangga, tertib dan rasa hormat, termasuk di kediaman atau kenderaan masing-masing. 
 
Marilah kita bersama-sama melakukannya demi menzahirkan rasa cinta terhadap negara, diiringi doa dan harapan supaya negara akan segera pulih daripada wabak COVID-19 dan kita dapat kembali kepada kehidupan normal dan mengecapi kemakmuran bersama.

No comments:

Post a Comment