Friday 30 July 2021

TANAM POKOK BUNGA KANTAN

 
Harga bunga kantan semakin mahal. Sedangkan permintaan terhadap bunga kantan semakin meningkat. 
 
Sumber bunga kantan yang diperoleh secara tumbuh meliar di dalam semak atau hutan amat terhad untuk memenuhi permintaan. 
 
Justeru, cara terbaik untuk membolehkan sumber bunga kantan ialah dengan menanam secara komersial atau terurus. 
 
Menanam pokok kantan tidak sukar. Kalau secara semulajadi ia boleh tumbuh dan mengeluarkan hasil, inikan pula jika ditanam mengikut keperluan sifatnya. 
 
Tidak sukar untuk memilih lokasi menanam kantan. Untuk faktor tanah, ia sesuai ditanam pada berbagai-bagai jenis tanah asalkan kawasan penanaman adalah bukan kawasan takungan air. 
 
Kawasan mudah bertakung air akan menyebabkan pertumbuhannya terjejas di samping itu mengakibatkan akar dalam tanah membusuk dan menyebabkan pokok mati. 
 
Jenis tanah yang paling ideal digunakan untuk tanaman ini adalah jenis loam berpasir. 
 
Pokok kantan boleh ditanam menggunakan rizom atau biji benih. 
 
Kebiasaannya ramai yang menggunakan rizom kerana ianya lebih cepat mengeluarkan hasil berbanding dengan penggunaan biji benih. 
 
Untuk pemilihan rizom sebagai bahan tanaman, pertama sekali anda perlu mencangkul keluar rizom yang mempunyai sulur dari perdu pokok. 
 
Kemudiannya, rizom yang diperolehi akan dipotong dan setiap potongan rizom seeloknya mempunyai 2-3 mata tunas dan akar serabut untuk menggalakkan pertumbuhan. 
 
Disebabkan pokok ini adalah jenis pokok yang berasal dari hutan, sudah menjadi habitatnya tumbuh pada kawasan yang bersemak. Oleh itu, penyediaan kawasannya juga tidak perlu dibersihkan secara menyeluruh. 
 
Waktu penanaman sebaiknya diselaraskan dengan musim hujan bagi mendapatkan pertumbuhan yang sempurna. 
 
Tanaman ini tidak memerlukan penjagaan rapi. Namun begitu amalan pertanian yang baik seperti pembersihan kawasan, pembajaan, kawalan musuh dan penyakit masih perlu diberi tumpuan dari semasa ke semasa. 
 
Tanaman ini perlu dipangkas bagi menggalakkan pertumbuhan sulur daun yang baru dan meningkatkan pengeluaran bunga. Bahagian yang dipangkas kebiasaannya adalah bahagian daun yang telah tua ataupun kekuningan. 
 
Untuk pengurusan sisa yang teratur, bahagian yang dipangkas itu tidak perlu dibuang atau dibakar. Ianya masih berguna terhadap tanaman ini. Bahagian yang dipangkas itu boleh dijadikan sungkupan bagi mengawal pertumbuhan rumpai. 
 
Apabila bahagian tersebut mereput, ianya memberi manfaat lain kepada tanaman iaitu sebagai sumber bahan organik yang berfaedah kepada pertumbuhan kantan. 
 
Berdasarkan pengalaman penanam, tiada penyakit dan perosak yang serius. Sedikit merisaukan para pengusaha pada hari ini adalah serangan anai-anai berikutan daripada kawasan penanaman yang mempunyai banyak kayu reput. 
 
Akibat daripada serangan anai-anai akan menyebabkan pokok menjadi layu dan kekuningan. Lambat-laun sekiranya tidak dikawal akan mengakibatkan keseluruhan pokok dalam rumpun yang sama juga terjejas. 
 
Bagi mengatasi masalah ini, laksanakan semburan racun serangga chlorpyrifos pada bahagian yang terkena serangan anai-anai. 
 
Pokok kantan mula mengeluarkan bunga setelah berumur 9 bulan. Bunga kantan yang belum kembang akan dipetik dengan memotong pada bahagian pangkal sulur sepanjang 30cm. 
 
Pokok kantan mengeluarkan bunga sepanjang tahun, oleh itu ianya hendaklah dipungut setiap hari bagi mengelakkan kudup bunga menjadi kembang. 
 
Kebiasaannya, bunga kantan yang dijual di pasaran adalah yang mempunyai kudup yang masih tertutup. 
 
Bunga kantan yang sudah kembang tidak boleh dijual dan ia biasanya akan dibiarkan begitu sahaja di pokok. 
 
Pokok kantan boleh dibaratkan sebagai sekali sahaja bersusah payah menanam, tetapi hasilnya berpanjangan.

No comments:

Post a Comment