Sunday 29 July 2018

AKIBAT MENJAJA KEBURUKAN ORANG LAIN

Seperti tidak menjadi satu dosa, adakala kita suka menjaja keburukan orang lain. Apa yang menghairankan, keburukan diri sendiri tidak dilihat tetapi lebih mudah melihat keburukan orang lain. 
 
Media sosial yang sepatutnya memberi kebaikan untuk kita saling bertanya khabar dan berkirim salam, sudah menjadi kawah menghimpunkan dosa.
 
Islam menuntut kita melihat kekurangan diri agar dapat memperbaiki kelemahan. Memburukkan atau mengaibkan orang lain sebenarnya memberi isyarat diri kita yang tidak betul. 
 
Ibarat menunjuk jari telunjuk kepada orang, satu kepada orang itu tetapi empat jari lagi menunding diri sendiri. Ini bermakna bukan orang itu yang buruk tetapi diri kita lebih buruk daripadanya.

Perangkap syaitan yang menggunakan pelbagai cara untuk menghumbankan kita ke dalam api neraka sewajarnya dapat dijadikan iktibar. Usah terpedaya dengan tipu daya hingga tergamak menjaja keburukan dan membuka keaiban orang.

Jauhilah kamu daripada mengumpat kerana dosa mengumpat itu lebih besar bahayanya daripada zina. Sesungguhnya seseorang lelaki itu terkadang dia berzina lalu bertaubat maka Allah menerima akan taubatnya. Dan sesungguhnya orang yang mengumpat itu tidak diampuni baginya sehingga dimaafkan oleh orang yang diumpatnya.

Zina adalah dosa seorang manusia itu dengan Allah SWT dan terampun dengan bertaubat (melainkan zina yang dilakukan dengan isteri orang, maka perlu dimaafkan oleh si-suami).

Mengumpat juga adalah satu dosa besar tetapi hanya orang yang diumpat sahaja boleh memaafkan dosa mengumpat itu. Kesan daripada perbuatan mengumpat adalah sangat buruk.

Firman Allah: “Janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani. (Surah al-Hujraat, ayat 12)

Pada zaman Rasulullah SAW, dua orang wanita sedang berpuasa dan tidak dapat menahan keperitan kelaparan, sehingga kedua-duanya hampir maut. Para sahabat membawa berita ini ke pengetahuan Nabi, lantas baginda mengirimkan sebuah mangkuk dan menyuruh mereka muntah ke dalamnya. 

Apabila kedua-duanya memuntahkan isi perut mereka ke dalam mangkuk, maka keluarlah ketulan-ketulan daging mentah dan darah. 
 
Para sahabat terperanjat besar, lalu sabda Rasulullah: “Mereka berpuasa dengan makanan yang halal tetapi mereka mengumpat semasa sedang berpuasa, maka keadaan puasa mereka menjadi semakin payah.”

No comments:

Post a Comment