Tuesday 23 January 2018

BANK KERAPU MEMORIAL PERANG DUNIA KEDUA

Bangunan Bank Kerapu terletak di sebelah Hilir Padang Merdeka atau Padang Bank. Nama Padang Bank dinamakan dengan nama ‘bank’ kerana terletak bersebelahan bank pertama yang beroperasi di Kelantan.

Nama Padang Bank ditukar kepada Padang Merdeka kerana ia menjadi lokasi sambutan kemerdekaan negara pada 31 Ogos 1957. Bagaimanapun, di kalangan generasi tua di Kelantan lebih mengenali sebagai Padang Bank sehingga sekarang.

Bangunan Bank Kerapu siap dan mula digunakan pada tahun 1912, sebagai bangunan operasi The Mercatile Bank of India Ltd. Bangunan tersebut adalah bangunan pertama menggunakan simen atau konkrit di Kota Bharu.

Masyarakat Kelantan menggelarkan bangunan ini sebagai Bank Kerapu kerana sebahagian daripada permukaan bangunaan ini di simen dengan menggunakan batu-bata kecil yang menyebabkan permukaannya tidak rata.

Pada zaman pendudukan Jepun di Tanah Melayu (1941-1945) bangunan Bank Kerapu telah digunakan sebagai pejabat kepada polis rahsia Jepun (Kempetai).

Di Bank Kerapu inilah dijadikan pejabat, lokap, tempat siasatan, tempat penderaaan dan lain-lain keganasan tentera Jepun terhadap mereka yang disyaki menentang Jepun.

Bila Jepun menyerah kalah dan Inggeris kembali memerintah negeri ini, bangunan ini digunakan semula sebagai bank. Tahun 1977 nama Bank tersebut bertukar kepada The Hongkong & Shanghai Banking Corporation.

Tahun 1981 bangunan ini dijadikan Balai Senilukis dan Kraftangan Kelantan. Kemudian, mulai tahun 1992 bangunan ini dijadikan sebagai Memorial Peperangan Dunia Ke II di Kelantan.

No comments:

Post a Comment