Sunday, 28 January 2018

HORMAT KASIH IBU


Penerapan amalan menghormati dan mengasihi ibu perlu disemai dan disuburkan dalam kehidupan masyarakat kita memandangkan bilangan kes anak durhaka semakin meningkat.  

Ibu bapa mesti mendidik anak agar mengamalkan nilai-nilai baik sepanjang masa dalam semua perkara, termasuk urusan berkaitan dengan menghormati ibu bapa.

Kes perbuatan anak tidak menghormati ibu kini sudah melampau batasan yang membayangkan telah roboh nilai-nilai murni yang sepatutnya diamalkan setiap anak terhadap ibunya  Banyak kes anak bukan lagi sekadar bertikam lidah, tetapi melarat sehingga sanggup mendera, memalu dan mencedera ibu. 

Apa yang dilakukan itu bukan saja tidak patut dilakukan terhadap ibu, bahkan juga kepada sesiapa saja.  Kita perlu mengamalkan budi pekerti dan nilai-nilai murni dalam hubungan sesama insan tanpa mengira dengan siapa.

Fenomena sikap biadab terhadap ibu dan bapa serta golongan tua melambangkan keruntuhan akhlak yang semakin ketara berlaku di kalangan masyarakat yang mengamalkan cara hidup ala Barat yang bersandarkan kebebasan bersuara dan hak individu. 

Kita perlu sedar, diri sendiri lambat laun akan menjadi ibu atau bapa dan kemudian tua pada suatu hari nanti.  Apa yang kita lakukan terhadap ibu akan turut sama diikuti anak kita terhadap diri kita nanti.  Apakah kita suka anak kita nanti melakukan perbuatan biadab terhadap kita?

Dosa anak terhadap ibu bapa akan dipercepatkan balasannya di dunia ini lagi.  Salah satu balasan ialah perbuatan yang pernah kita lakukan terhadap ibu bapa akan dilakukan semula oleh anak-anak terhadap kita nanti. 

Ketika itu, kita akan merasakan apa yang dirasakan ibu bapa kita sekarang akibat perbuatan yang kita lakukan.  Jadi, untuk mengelak perkara itu, jadilah anak yang baik yang membahagiakan ibu bapa. 

No comments:

Post a Comment