Monday, 8 December 2025

SULTAN IBRAHIM DIPERDAYA TANDATANGAN PENUBUHAN MALAYAN UNION

 
Sultan Ibrahim Ibni Sultan Muhammad IV, adalah Sultan Kelantan dari tahun 1944 hingga 1960. Baginda antara sultan yang dipaksa menandatangani perjanjian Malayan Union oleh British melalui desakan, ugutan, dan taktik licik Sir Harold MacMichael pada akhir tahun 1945.

Sembilan sultan di Tanah Melayu merasa tertekan dan terperangkap, walaupun kebanyakan mereka sebenarnya tidak bersetuju tetapi terpaksa demi mengelak pemecatan atau hilang takhta.  

Ketika rancangan Inggeris ingin menubuhkan Malayan Union, orang Melayu bangkit menentang rancangan tersebut. Ini termasuklah di Kelantan.

Pada 17 Disember 1945, kira-kira 30,000 orang, berhimpun beramai-ramai di Padang Bank menyatakan bantahan terhadap Malayan Union, mereka telah berarak sehingga ke Istana Seri Cemerlang di Jalan Kebun Sultan dan lima orang wakil dibenarkan masuk menghadap Sultan Ibrahim. 

Baginda bersetuju untuk mempertahankan hak-hak anak-anak Melayu untuk agama, bangsa dan tanah air dan bersetuju tidak menandatangani persetujuan penubuhan Malayan Union.  

Baginda Sultan menyahut permintaan itu, dengan antara lain bertitah: “Hendaklah rakyat-rakyat saya ingat saya tidak akan menyain dengan buta tuli selagi syarat-syarat yang saya tuntuti itu tidak dibenarkan oleh Baginda King. Dan saya percaya Sir Harold MacMichael sendiri akan membawa perkara ini kepada pengetahuan Baginda King. Saya sememang tidak hendak menganiayakan rakyat saya Melayu.

"Saya ada bermesyuarat dengan orang-orang besar saya dalam perkara ini. Adapun tentang permesyuaratan saya itu adalah di dalam sulit lagi. Sekarang saya harap hendaklah rakyat saya bekerja dengan bersatu hati dan ingat yang kita dahulu ditindih oleh bangsa asing dan sekarang mestilah kita sedar dan ingat janganlah diberi mereka itu menindih lagi, bahkan hendaklah kita tindik mereka itu pula.” 

Pun, pada hari tersebut, Sultan Ibrahim menyain atau menandatangani perjanjian Malayan Union dengan disaksikan oleh HT Bourdillon, Tengku Abdullah (Raja Muda) dan Nik Ahmad Kamil Nik Mahmud, Menteri Besar Kelantan. 

Di dalam naratif sejarah arus perdana, baginda-baginda Sultan raja Melayu telah dikatakan “dipaksa” menandatangani perjanjian tersebut. 

Menurut Nik Mohamed Nik Mohd Salleh dalam makalah “Tentangan Orang-orang Melayu Kelantan Terhadap Malayan Union”, Sultan Kelantan kemudian membantah perjanjian tersebut pada 10 Februari 1946. 

Nik Mohamed menyatakan Sultan Ibrahim ada kemungkinan menyesal dan terpedaya, dan ini berlaku kerana “terlalu lurus dan terlalu percaya kepada barang siapa juga” dan “tabiat bangsa Melayu yang mudah sangat bertolak ansur”. 

Dalam tahun 1946, usaha menubuhkan Malayan Union bagaimanapun dimansuhkan dan Sultan Ibrahim pulang ke Kota Bharu pada 24 Disember selepas beberapa siri pertemuan dengan raja-raja Melayu dan pegawai-pegawai British. 

Perjanjian yang lain ditandatangani dengan Inggeris yang mana membolehkan penubuhan Persekutuan Tanah Melayu pada 1 Februari 1948.


No comments:

Post a Comment