Thursday, 21 July 2022

SULTAN IBRAHIM RAJA KELANTAN 1944

  
Sultan Ibrahim Ibni Sultan Muhammad IV, adalah Sultan Kelantan dari tahun 1944 hingga 1960. Baginda diputerakan pada 9 Oktober 1897 di Istana Balai Besar, Kota Bharu. Baginda merupakan putera kedua kepada Sultan Muhammad IV (Long Senik) Ibni Sultan Muhammad III dan Sultanah Zainab. 
 
Sultan Ibrahim menaiki takhta Kelantan pada 21 Jun 1944 dan dimasyhurkan secara rasmi di Istana Balai Besar, Kota Bharu pada 25 Oktober 1944. 
 
Baginda menggantikan kekanda baginda, Sultan Ismail Ibni Sultan Muhammad IV yang tidak mempunyai anakanda lelaki. 
 
Untuk rekod baginda memerintah sehinggalah Tanah Melayu dibebaskan dari Jepun, kedatangan semula Inggeris, dan sempat menyaksikan kemerdekaan tanah air. 
 
Sultan Ibrahim ini mangkat pada 9 Julai 1960 dan digantikan oleh Sultan Yahya Petra, setelah 16 tahun memerintah ketika usia 62 tahun. Baginda mempunyai 3 isteri dan mempunyai 12 putera dan 14 puteri. 
 
Baginda bolehlah dikatakan meneruskan hubungan yang erat lagi akrab dengan British seperti ayahanda dan kakanda baginda, Sultan Muhammad IV dan Sultan Ismail. 
 
Tidak seperti negeri-negeri Selangor, Terengganu dan Perlis, takhta istana Kelantan tidak sempat dibidak oleh pihak Jepun. Oleh sebab itu Sultan Ibrahim tidak diganggu sepanjang pendudukan Jepun. Dalam erti kata lain, konflik keluarga dalam Istana Kelantan tidak sampai direbut oleh Jepun seperti yang berlaku di negeri-negeri lain. 
 
Istana Kelantan nyaris terselamat dari pertelagahan kerabat. Pada tahun 1944, Sultan Ibrahim melantik Tengku Abdullah, putera sulung baginda sebagai Raja Muda Kelantan. Namun demikian Tengku Abdullah dilucutkan dari gelar dan kedudukannya tidak lama kemudian pada 25 November 1947. 
 
Tengku Abdullah adalah anakanda baginda dengan Raja Perempuan Zainab manakala Tengku Yahya Petra (yang menggantikan baginda Sultan Ibrahim) adalah putera kedua dengan isteri ketiga iaitu Che Puan Besar Cik Embong Daud yang baginda kahwini dalam tahun 1916. Tengku Yahya Petra inilah yang dilantik sebagai Tengku Mahkota Kelantan pada 1 Februari 1948. 
 
Tengku Abdullah yang dipecat dari posisinya itu mempunyai pengalaman sebagai ahli parlimen Ulu Kelantan dan pernah menjadi duta di Sri Lanka, Jepun dan Pakistan. Beliau pernah mengahwini seorang wanita Inggeris bernama Annette Edith Olive Wheller pada tahun 1939. Terdapat dakwaan Tengku Abdullah diketepikan kerana gaya hidupnya yang bebas. 

No comments:

Post a Comment