Saturday 20 November 2021

PERLU KAWAL PENGGUNAAN ANTIBIOTIK SECARA RASIONAL

  
Orang ramai dinasihat memastikan penggunaan ubat antibiotik digunakan secara rasional dan berhemah bagi mengurangkan kerintangan antibiotik. 
 
Peningkatan kerintangan antibiotik menjadi ancaman membimbangkan di seluruh dunia termasuk Malaysia kerana ia menyebabkan penyakit sukar diubati dan akan meningkatkan risiko morbiditi dan kematian. 
 
Sebagai contoh kadar kematian bagi pesakit dengan jangkitan serius disebabkan oleh bakteria kebal yang dirawat di hospital adalah kira-kira dua kali ganda berbanding pesakit dengan jangkitan yang disebabkan oleh bakteria biasa. 
 
Berikutan itu, masyarakat perlu memahami bukan semua penyakit disebabkan oleh jangkitan bakteria, sekali gus tidak memerlukan rawatan menggunakan antibiotik. 
 
Antara penyakit yang tidak memerlukan antibiotik ialah seperti batuk, selesema dan sakit tekak yang disebabkan oleh virus dan penggunaan antibiotik dalam rawatan penyakit berkenaan tidak diperlukan serta tidak berkesan sama sekali. 
 
Sebaliknya, dapatkan nasihat doktor untuk rawatan yang sesuai jika tidak sihat. Preskripsi doktor adalah perlu untuk penggunaan antibiotik. Apabila anda berjumpa doktor, jadikan amalan untuk bertanya keperluan pengambilan segala jenis ubat yang diberikan termasuklah antibiotik. 
 
Sekiranya diberikan antibiotik, ia perlu diambil seperti yang diarahkan. Harus diingatkan, antibiotik perlu dihabiskan mengikut tempoh yang diberi dan tidak boleh dikongsi dengan orang lain. Ia juga tidak boleh digunakan semula untuk jangkitan pada masa akan datang. 
 
Antibiotik digunakan secara meluas bagi rawatan penyakit akibat daripada jangkitan kuman atau bakteria dan kewujudan lebih 100 antibiotik, sama ada berfungsi untuk membunuh bakteria atau menghentikan perkembangan bakteria, sudah banyak membantu terutamanya dalam mempercepatkan proses untuk sembuh. 
 
Penggunaan antibiotik yang tidak wajar dan berleluasa mewujudkan masalah baharu kerintangan antibiotik. 
 
Kerintangan antibiotik berlaku apabila bakteria menjadi kebal kepada antibiotik dan menyebabkan antibiotik yang digunakan tidak berkesan dalam merawat jangkitan. 
 
Bakteria kebal boleh merebak melalui beberapa cara termasuklah jangkitan antara individu, pengambilan makanan atau minuman tercemar dengan bakteria kebal, pendedahan kepada persekitaran yang tercemar serta pengambilan makanan berasaskan haiwan ternakan yang mengandungi residu antibiotik yang tinggi. 
 
Di peringkat global, Khairy berkata dianggarkan sebanyak 700,000 kematian global setiap tahun adalah dikaitkan dengan isu kerintangan antibiotik, sekiranya tidak dikawal angka berkenaan dijangka meningkat kepada 10 juta menjelang tahun 2050. 
 
Suatu kajian berkaitan bakteria kebal E. coli yang dijalankan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) pada 2019 bersama-sama pelbagai agensi mendapati bakteria kebal E. coli tersebar secara meluas dalam kalangan manusia, haiwan dan alam sekitar di Malaysia. 
 
Penemuan ini adalah sesuatu yang amat membimbangkan dan kita perlu mengambil tindakan segera. 
 
Dalam usaha untuk meningkatkan kesedaran global terhadap isu kerintangan antibiotik, pada tahun ini Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melancarkan kempen 'Go Blue for AMR' bersempena Minggu Kesedaran Antimikrob Sedunia. 
 
Menerusi kempen berkenaan individu, komuniti dan organisasi dijemput untuk memakai pakaian berwarna biru muda, mencahayakan bangunan atau monumen dengan lampu berwarna biru muda sebagai tanda sokongan dan solidariti terhadap kempen ini.

No comments:

Post a Comment