Wednesday 3 March 2021

HASUT SUAMI ISTERI BERCERAI BOLEH DIDAKWA DI MAHKAMAH

Pihak ketiga iaitu mana-mana mentua atau ipar-duai yang dipercayai menghasut pasangan suami isteri sehingga mencetuskan keretakan rumah tangga boleh dituduh di Mahkamah Syariah selain berdepan hukuman penjara atau denda atau kedua-duanya.

Perkara itu diperuntukkan di bawah Seksyen 37 dan Seksyen 38 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 dengan menetapkan kesalahan kehadiran orang ketiga yang merangkumi kaum keluarga.

Seksyen 37 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 memperuntukkan kesalahan iaitu mana-mana orang menghalang pasangan bernikah daripada hidup sebagai suami isteri boleh didenda sehingga RM2,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya sekali.

Selain itu, Seksyen 38 akta sama pula menetapkan kesalahan menghasut suami atau isteri supaya bercerai atau mengabaikan kewajipan dan tanggungjawabnya sebagai suami atau isteri adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

Banyak kes ibu bapa mertua dan ipar duai yang terbabit mencetuskan keretakan rumah tangga, selain kehadiran orang ketiga melibatkan bekas teman lelaki atau wanita.

Setiap pasangan berhak untuk memastikan keharmonian rumah tangga mereka terbela agar pihak mencetuskan keretakan hubungan suami isteri mendapat balasan sewajarnya.

Undang-undang tersebut digubal bertujuan untuk jaminan dan menjaga aspek kerukunan rumah tangga di samping mengelakkan penceraian daripada terus berlaku.

Undang-undang itu bertujuan menjaga hubungan rumah tangga agar pihak ketiga termasuk ahli keluarga sendiri tidak sewenang-wenangnya menganggu-gugat keharmonian rumah tangga.

Setiap pasangan suami isteri yang berhadapan situasi campur tangan ibu bapa mertua dan ipar duai yang menjurus kepada keretakan hubungan suami isteri agar membuat laporan polis dan segera ke mana-mana Jabatan Agama Islam Negeri agar siasatan selanjutnya dapat dilakukan.

Mereka dinasihatkan untuk mengemukakan bukti-bukti sama ada bertulis atau keterangan seperti rakaman audio, video dan kiriman mesej yang mengandungi unsur elemen menghalang pasangan bernikah daripada hidup sebagai suami isteri.

Pihak penguatkuasa agama akan jalankan siasatan untuk buka kertas siasatan dan dakwa ke Mahkamah Syariah jika benar aduan yang dibuat.

No comments:

Post a Comment