Friday 19 March 2021

TIBA MASA KITA BERPUSING 180 DARJAH

Siapa dan apa pun kita ini, akan sampai satu fasa dalam hidup yang mana kita akan katakan "cukuplah". Apa yang dikejar, diimpikan, direbut dan disukai tidak lagi dipedulikan.

Ya... aku sudah letih, aku dah puas, aku tidak menyukainya lagi, aku nak balik.

Itulah fasa di mana kita mula memperlahankan rentak, merendahkan suara, memujuk ghairah, mengurangkan mengata dan sengketa. Memperuntukan lebih banyak masa bercakap dengan diri sendiri dari bercakap dengan insan lain.

Ketika itu kita mula bersahabat baik dengan diri sendiri, dan kita mula menerokai sesuatu yang dulunya kita tahu tapi tidak rasakan, dan saat itu kita mula merasai kehadirannya, yakni jiwa.

Saat itu, bergaduhlah engkau orang, aku tak ada masa. Kejarlah apa yang engkau orang nak kejar, aku nak balik. Aku tidak minat lagi untuk berkejar-kejar dengan sesuatu yang tidak pasti.

Kita ibarat dalam sebuah perlumbaan lari, yang mana ketika peserta lain sedang lari meluru ke garisan penamat, kita sedang lari semula ke belakang.

Saat melihat mereka yang bertolak-tolak untuk ke garisan penamat, aku hanya tersenyum dan mengatakan, percayalah, kejap lagi kau akan patah balik ke sini.

Kerana penghujung perjalanan itu sebenarnya adalah kembali ke permulaan. Kita akan kembali kepada Maha Pencipta. Segala apa yang diperoleh di dunia ini akan ditinggalkan menjadi habuan orang lain. Bekal yang dibawa hanya dosa dan pahala.

Jadi, berhati-hatilah dalam segala apa yang dilakukan. Perbanyakkan pahala, jauhi dosa.

No comments:

Post a Comment