Monday 21 December 2020

CARA TENTU HARGA KELADI HIASAN CALADIUM

 
Sejak akhir-akhir ini pokok keladi hiasan menjadi kegilaan suri rumah sehingga pihak nurseri tidak menang tangan untuk memenuhi permintaan peminat pokok keladi. Dalam bahasa ekonomi atau pemasaran situasi itu disebut permintaan melebihi penawaran. Keadaan itu menyebabkan harga meningkat tinggi. 
 
Lakunya seperti goreng pisang panas. Ada yang dipasarkan melalui media sosial laku atau dibeli hanya dalam tempoh kurang lima minit apabila dipaparkan. Pembeli tidak fikir panjang terus membuat pesanan sebelum direbut oleh pembeli lain. 
 
Pokok keladi hiasan itu lebih dikenali caladium. Kecantikan keladi caladium menjadi kegilaan ramai apabila tular pelbagai jenis dengan kepelbagaian bentuk, corak, dan warna daunnya yang sangat beragam. 
 
Terdapat 3 spesis pokok keladi hiasan yang popular ialah caladium humboldtii, caladium lindenii dan caladium bicolor. 
 
Caladium secara secara semulajadi tumbuh liar di hutan tropika. Lokasi tumbuhnya antara lain di pinggir sungai, di bawah pohon besar dan tempat-tempat berongga yang lembab. 
 
Daun caladium ada yang berbentuk hati, bulat, panjang, seperti daun bambu, dan daun ganda. Sedangkan daunnya memiliki warna dasar merah, kuning, hijau, putih, emas, dan ungu. 
 
Masing-masing warna memiliki variasi yang berbeza, seperti merah tua, merah terang, merah pudar, atau merah pucat. Di samping warna dasar, umumnya dalam satu daun caladium juga terdapat satu atau beberapa warna lain. 
 
Warna daun caladium yang masih muda umumnya berbeza dengan caladium yang sudah dewasa. Corak daun caladium ada yang berupa titik, bulat, bergaris, atau bentuk yang tidak beraturan dengan jumlah dan ukuran yang bervariasi. 
 
Pokok keladi ini menjadi kegilaan suri rumah kerana ia senang dijaga dan tidak banyak ragam seperti pokok bunga yang lain. 
 
Namun, tahukah anda bahawa pokok keladi ini mampu mencecah harga sehingga RM1,000 sepokok? Kalau harga antara RM50 hingga RM100 sepokok itu sudah dikira yang biasa-biasa. 
 
Tahukah ada bagaimana harga pokok keladi hiasan ini ditentukan? Antara penentu harga sesuatu pokok keladi hiasan ditentukan mengikut saiz (makin besar, makin mahal), jenis yang susah didapati dan jenis yang lain daripada yang lain. 
 
Sekarang ini pokok keladi yang sering menjadi tumpuan peminat pokok keladi ialah jenis telinga gajah dan pokok keladi cat. 
 
Caladium ditanam menggunakan ubi atau umbisi. Untuk menghasilkan banyak benih baharu, umbisinya boleh dibelah atau dikerat kecil. Setiap keratan itu perlu ada bahagian yang masih ada kulit yang akan menjadi bahagian mata tunas akan tumbuh dan seterusnya membesar. 
 
Ukuran atau luas permukaan yang berkulit itu sekurang-kurangnya 2cm x 1cm. 
 
Caladium boleh disemai atau ditanam di dalam pasu atau terus di atas tanah. Caladium memerlukan medium yang gembur dan subur untuk tumbesaran umbisinya. 
 
Pada peringkat awal memerlukan penyiraman untuk membantu tunas atau anak benih tumbuh lebih cepat dan subur. 

No comments:

Post a Comment