
Jika
kita merujuk kepada sumber Sulalatus Salatin semata-mata, undang-undang Islam
mula diterapkan dalam Hukum Kanun Melaka dan Undang-undang Laut Melaka ketika
zaman pemerintahan Sultan Muzaffar Syah.
Sebelum
itu, undang-undang di Melaka berteraskan adat dan agama Hindu yang kuat
mengamalkan sistem kasta. Namun, pengamalan Undang-undang Islam termasuk hudud
sebenarnya banyak mengubah landskap pentadbiran dan politik di Melaka. Tidak
lama selepas Sultan Muzaffar Syah menerapkan undang-undang Islam, Melaka
mencapai kegemilangannya terutama di bawah pemerintahan Sultan Mansur Syah.
Jika
merujuk lagi sumber Sulalatus Salatin, ketika hudud dilaksanakan di Melaka,
rakyat Melaka rata-ratanya orang kaya. Ini sebagaimana yang dicatatkan
"Maka Hang Nadim pun pergilah naik kapal Hang Isap; kerana orang Melaka
pada masa itu, rata-rata berkapal segala yang bermodal". Kemakmuran dan
kekayaan yang melanda kerajaan Melaka ialah kerana kepesatan aktiviti
perdagangan di bumi Melaka.
Apabila
undang-undang Islam diamalkan, pelabuhan Melaka menjadi pelabuhan yang paling
aman di Nusantara sehingga menyebabkan para pedagang asing suka singgah
berdagang di sini.
Barangkali,
inilah keberkatan yang diperoleh oleh rakyat jelata di Melaka hasil dari
pengamalan undang-undang Islam.
Para
kerabat sultan juga tidak kebal sepenuhnya sebagaimana zaman sebelum undang-undang
Islam dilaksanakan. Ini dapat dibuktikan dalam peristiwa pembunuhan Tun Besar
oleh Raja Muhammad. Akibat membunuh Tun Besar, Raja Muhammad yang merupakan
pewaris takhta kerajaan Melayu Melaka telah dilucutkan takhtanya dan beliau
dibuang negeri ke Pahang.
Maka
itu, Sultan Alauddin Riayat Syah mewarisi takhta kesultanan Melaka walaupun
beliau bukanlah putera sulong. Walaupun hukuman ini tidak setimpal, tetapi
sekurang-kurangnya ia mengubah landskap politik di Melaka yang mana sebelum ini
kerabat diraja bebas dari hukuman.
Selain
itu, di Melaka, sultan-sultan amat menghormati golongan ulama. Sekali pun
sultan yang berperibadi negatif seperti Sultan Mahmud Syah, yang amat jelik
kisah kemungkarannya untuk diceritakan di sini. Namun sikap beliau yang
menghormati para ulama wajar dijadikan contoh.
Siapa
yang tahu, barangkali inilah keberkatan dalam melaksanakan undang-undang Islam
di Melaka. Sulalatus Salatin menceritakan bahawa beliau sanggup berjalan kaki
ke rumah Maulana Yusuf, seorang ulama dan bekas kadi di Melaka semata-mata mahu
belajar agama.
Sedangkan
pemimpin yang diceritakan bersikap negatif seperti Sultan Mahmud Syah adalah
sosok yang menghormati ulama, apatah lagi sultan yang soleh seperti Sultan
Ala'uddin Riayat Syah, Sultan Iskandar Muda, Pati Unus dan ramai lagi, sudah
pasti mereka lebih memuliakan ulama.
No comments:
Post a Comment