Monday 5 March 2018

KELEBIHAN SOLAT TAHAJUD MALAM


Kelebihan solat malam dijelaskan Rasulullah SAW dalam sabda bermaksud: "Apabila seseorang itu jaga daripada tidurnya pada malam dan membangkitkan isterinya lalu kedua-duanya menunaikan dua rakaat solat, nescaya mereka ditulis dalam golongan manusia yang banyak menyintai dan menyebutkan Allah." (Hadis riwayat Ibnu Hibban dari Abu Said)

Malam dengan ketenangan dan kejernihan suasananya adalah sebaik-baik waktu untuk beribadat dan berhubungan dengan Allah. Waktu itu juga sesuai meningkatkan keimanan dengan bangun mendirikan solat serta bermohon kepada Allah.

Firman Allah bermaksud: "Dan pada waktu malam bangkitlah solat tahajud sebagai solat tambahan bagi ibadahmu semoga Allah membangkitkanmu pada hari akhirat dengan kedudukan dan darjat yang terpuji." (Surah al-Isra', ayat 79)

Waktu solat malam itu luas, ia boleh dikerjakan pada awal, pertengahan malam dan akhir malam selama solat itu dilakukan selepas Isyak.  

Menurut al-Hafiz, Rasulullah SAW tidak solat malam waktu tertentu, malah Baginda solat mengikut kesempatan dan keselesaan tetapi waktu afdal ialah pada tengah malam iaitu sepertiga malam.

Namun, seseorang tidak disuruh mengerjakan solat malam dengan memaksakan diri secara keterlaluan. Amalan sedikit tetapi tekun adalah lebih baik daripada banyak tetapi jarang dilakukan.

Nabi SAW menjamin orang yang mengerjakan solat malam, maka ia bakal memperoleh semangat dan kesegaran pada pagi harinya. Sebaliknya, barang siapa yang tidak berpeluang bangun dan solat malam, maka pada pagi hari ia bakal memiliki perasaan buruk dan malas.

Rasulullah SAW bersabda bermaksud: "Syaitan akan mengikat tengkuk salah seorang di antara kamu apabila ia tidur dengan tiga ikatan. Syaitan mengikat setiap simpul ikatan atas kamu dengan mengucapkan: Bagimu malam yang panjang, maka tidurlah".

"Apabila ia bangun dan berzikir kepada Allah maka terbukalah satu ikatan. Apabila ia berwuduk, terbukalah pula satu ikatan. Apabila ia solat, terbukalah satu ikatan. Maka pada pagi hari ia penuh semangat dan segar. Jika tidak, nescaya pagi hari perasaannya buruk dan malas." (Hadis riwayat Bukhari)

Pastikan diri tidak kesiangan solat Subuh. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Sesungguhnya solat yang paling berat bagi kaum munafik adalah solat Isyak dan Subuh (berjemaah)."

"Andai mereka tahu apa manfaat di dalam kedua-duanya nescaya mereka akan mendatanginya walaupun dengan merangkak." (Hadis riwayat Muslim)

No comments:

Post a Comment