Bukit Perahu, Tamparuli, Sabah terkenal sebagai
lokasi kembara berjalan kaki (hiking) di kalangan penduduk tempatan. Bukit
Perahu yang juga dikenali Bukit St. Veronica di kalangan penganut Kristian hanya
mengambil masa memandu sejam dari bandar Kota Kinabalu.
Nama Bukit Perahu diambil berdasarkan
bentuk batuan unik yang ditemui di atas bukit tersebut yang menyerupai kapal
yang terkandas. Bagaimanapun, ia tidak dipanggil “bukit kapal”, sebaliknya
dipanggil Bukit Perahu kerana “perahu” juga merujuk kepada “kapal”.
Bukit Perahu hanya berketinggian kira-kira
300 meter dari paras laut, namun dianggap hiking mencabar kerana keadaan laluan
yang curam sehingga ada yang tegap 90 darjah.
Untuk memudahkan aktiviti hiking, pihak
berkuasa tempatan telah membina laluan simen dan tangga yang bukan sahaja
memudahkan, tetapi juga menyediakan keadaan yang lebih selamat dan santai
kepada pengunjung. Selain itu, laluan tersebut juga diterangi dengan lampu
solar.
Justeru, untuk sampai ke puncak hanya
mengambil masa kira 20 hingga 45 minit sahaja jika berjalan secara berterusan.
Namun, tentu sahaja masa lebih lama perlu diambil jika banyak kali berhenti
rehat atau berjalan santai yang tidak menetap masa untuk sampai di puncaik.
Selain digunakan mereka melakukan hiking,
laluan itu dijadikan laluan oleh penganut Roman Katolik tempatan menuju puncak
untuk memperingati Stesen Salib (atau Jalan Salib). Terdapat 14 salib
menandakan setiap pusat pemeriksaan dengan gambar dan penerangan Yesus Kristus
membawa palang ke salibnya.
Sebenarnya, Bukit Perahu yang terletak di
Kampung Ruhiang itu mula dikenali apabila dijadikan lokasi sesuai untuk
kegiatan sukan lasak luncur udara atau paragliding sejak 2009.
Bukit itu adalah antara tujuh lokasi
kegiatan luncur udara di Sabah. Lokasi lain ialah Kokol Menggatal, Puncak
Selatangunung Kinabalu, Kampung Lohan Ranau; Bukit Lohan Ulu Ranau, Bukit Sim
Sim Sandakan dan Bukit Trig di Sandakan.
Lazimnya, pendakian bermula seawal jam 4
pagi oleh mereka yang ingin menyaksikan keindahan matahari terbit dari arah Gunung
Kinabalu, manakala pendakian terakhir sebelum matahari terbenam jam 6 petang.
Dari puncak, pengunjung berpeluang melihat
suasana sekitar yang masih ditutupi hutan serta pemandangan pekan Tamparuli yang
pesat membangun.
No comments:
Post a Comment