Urusan
perniagaan amat penting dalam kehidupan seharian manusia. Peniaga dan pengguna
adalah dua pihak yang saling berurusan. Kedua-dua golongan ini menyumbang
peranan besar dalam menjayakan sesuatu matlamat yang ditetapkan oleh
negara.
Keadaan
ekonomi, kesejahteraan, kemakmuran dan kemajuan negara banyak bergantung kepada
peranan yang dimainkan oleh peniaga dan pengguna.
Urusan
perniagaan wujud sejak zaman masyarakat kuno melalui sistem perniagaan bertukar
barang. Keperluan menentukan satu nilai barangan untuk urusniaga tanpa
pertukaran barang telah melahirkan sistem mata wang seperti wujud sekarang.
Kepentingan
urus niaga semakin meningkat dalam era kehidupan sekarang. Semua barang
dan perkhidmatan memerlukan urus niaga untuk diperoleh. Sekarang ini sukar
hendak ditemui barang dan perkhidmatan disediakan secara percuma.
Islam
tidak terlepas menetapkan peraturan berkaitan perniagaan dan kepenggunaan yang
penting ini. Soal perniagaan dan kepenggunaan ditekankan bagi menyedarkan orang
ramai tentang sumbangan mereka kepada kemakmuran dan kesejahteraan negara.
Perihal
pengguna berhemah, ialah bijak berbelanja mengikut keperluan, kemampuan dan
memahami hak mereka sebagai pengguna. Pengguna berhemah berbelanja tidak boros.
Mereka bijak menguruskan perbelanjaan dan tidak terjebak dengan hutang.
Islam
memberi penekanan agar setiap Muslim tidak melakukan pembaziran belanjakan
harta. Sifat membazir adalah amalan syaitan yang perlu dijauhkan. Banyak
keburukan berpunca sifat membazir yang membawa kemurkaan Allah.
Firman
Allah bermaksud: “Dan orang-orang yang apabila membelanjakan (harta) mereka
tidak berlebih-lebihan dan tidak pula kedekut, tetapi sederhana (mengikut
keperluan).” (Surah al-Furqan, ayat 67).
Pengguna
berhemah berbelanja mengikut apa yang diperlukan saja. Mereka tidak mudah
terpedaya dengan tawaran potongan harga atau harga murah. Biarpun harga murah,
tetapi jika ia tidak diperlukan, tidak ada untung membelinya.
Banyak
individu yang tidak dapat mengawal nafsu terdorong membeli apa yang tidak
diperlukan disebabkan merasakan tawaran harga yang dianggap rugi jika tidak
membelinya.
Sebagai
pengguna berhemah seseorang itu tidak terpengaruh dengan apa dibeli orang lain.
Setiap orang ada wang dan keperluan yang berbeza. Membeli atau membayar
pekhidmatan yang tidak digunakan adalah satu kerugian besar.
Akibat
tidak mampu menguruskan kewangan diri, banyak pengguna terjebak meminjam dengan
ceti haram atau along. Kemelut kewangan yang dihadapi menjadi semakin serius
apabila tidak mampu menjelaskan pinjaman itu.
Pengguna
juga perlu mengetahui hak sebagai pengguna. Perniagaan global hari ini bersifat
lebih kompleks. Pengguna perlu mengetahui hak mereka agar tidak tertipu dengan
pihak tidak bertanggungjawab.
Banyak
pengguna menjadi mangsa disebabkan kejahilan mengenai undang-undang dan hak
sebagai pengguna. Mereka terperangkap dengan taktik halus peniaga mengaut
keuntungan secara tidak dibenarkan agama dan undang-undang.

No comments:
Post a Comment