Wednesday, 25 March 2026

HUKUM SEMBAHYANG TANPA TELEKUNG

 
Syarat sah sembahyang ialah perkara yang wajib dipenuhi sebelum mendirikan solat agar solat diterima Allah SWT, yang terdiri daripada: Islam, berakal, mumayyiz, suci daripada hadas kecil/besar, suci daripada najis pada badan/pakaian/tempat, menutup aurat, menghadap kiblat, dan masuk waktu solat. 

Maksud menutup aurat bukan bergantung kepada bentuk atau nama pakaian. Bagi golongan wanita, yang biasa dipakai ketika bersembahyang ialah telekung. 

Pun begitu, memakai telekung hanyalah budaya masyarakat di rantau kita. Ia bukanlah rukun atau syarat sah sembahyang. 

Mana-mana bentuk pakaian boleh digunakan ketika sembahyang, asalkan pakaian tersebut bersih dan menutup aurat. 

Isu menutup bawah dagu ketika bersembahyang. Merujuk kepada Imam al-Nawawi dalam kitab al-Majmu‘ (Mazhab Syafie), definisi wajah adalah: "Wajah ialah antara tempat tumbuh rambut kepala hingga ke bawah dagu, dan dari telinga ke telinga."

Penjelasannya begini, bahagian luar dagu dikira sebagai sebahagian daripada muka, maka tidak wajib ditutup. Manakala bahagian bawah dagu (kawasan leher) dikira bukan sebahagian daripada muka, maka ia wajib ditutup.

Namun begitu, perkara ini mempunyai khilaf dalam kalangan ulama. Mungkin ramai yang berasa janggal kerana rata-rata wanita di Malaysia pasti akan bersolat menyarung telekung.

Jika kita melangkah ke luar negara, melihat wanita bersolat dengan pakaian harian (seperti jubah atau pakaian kasual yang longgar dan menutup aurat) adalah satu pemandangan yang sangat normal.

No comments:

Post a Comment