Wednesday, 11 September 2024

KOSMETIK PERLU ADA PENDAFTARAN “NOT”

 
Kosmetik atau produk kecantikan ditakrifkan sebagai bahan atau persediaan untuk digunakan pada bahagian luaran tubuh badan manusia seperti kulit, rambut, kuku, bibir, gigi dan rongga mulut. Kosmetik digunakan bertujuan untuk membersihkan, mewangikan, mengubah rupa, memperbaiki bau badan, melindungi, atau mengekalkan dalam keadaan baik. 

Di Malaysia, produk kosmetik adalah di kawal di bawah Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984, ASEAN Cosmetic Directives (ACD) dan Guideline for Control of Cosmetic Product in Malaysia bagi menjamin produk kosmetik adalah berkualiti dan selamat kepada pengguna.

Mulai tahun 2008, proses kawalan terhadap produk kosmetik telah bertukar dari sistem pendaftaran kepada sistem “notifikasi”. Melalui sistem notifikasi, pihak syarikat perlu membuat notifikasi kepada pihak Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan (BPFK) terlebih dahulu sebelum produk kosmetik tersebut boleh diimport, dikilangkan atau dipasarkan di Malaysia.

Produk kosmetik yang telah dinotifikasi akan diberikan nombor notifikasi (NOT) sebagai bukti produk kosmetik tersebut telah bernotifikasi dengan pihak BPFK Kementerian Kesihatan Malaysia.

Pengguna dinasihatkan untuk mengelak daripada membeli dan menggunakan produk kosmetik tanpa notifikasi atau notifikasi telah dibatalkan. Produk akan dibatalkan notifikasi apabila didapati mengandungi bahan larangan, termasuk racun berjadual yang tidak dibenarkan dalam produk kosmetik. Ada pengeluar mengubah kandungan asal atau dicampur palsu berbanding yang mendapat notifikasi.

Penggunaan produk kosmetik yang dicampur palsu dengan bahan kimia seperti yang telah dikesan boleh menyebabkan kesan advers serius.

No comments:

Post a Comment