Sebagai penduduk negara yang bertuah ini,
marilah kita bersyukur kerana telah dikurniakan nikmat kemerdekaan, keamanan,
kesejahteraan dan kedamaian seterusnya dapat dikekalkan. Apabila kita
bersyukur, Allah SWT akan tambahkan nikmat kepada kita.
Firman Allah dalam surah Ibrahim ayat 14 yang bermaksud: “Jika kalian bersyukur nescaya akan Ku tambah (nikmatku) pada kalian, dan jika kalian mengingkari (nikmatku), maka pasti azabKu sangat pedih.”
Rakyat perlu meletakan kepentingan negara pada kedudukan yang tinggi bagi memastikan negara terus maju dan aman. Rakyat seharusnya mengimbau ingatan kita kepada keazaman kolektif dan harapan bersama generasi terdahulu yang menjadi pencetus kepada perjuangan kemerdekaan negara daripada penjajahan asing.
Biarpun kemerdekaan Malaysia dicapai tanpa mengangkat senjata, namun hakikatnya dalam sejarah yang panjang sebelum mencapai kemerdekaan banyak nyawa telah terkorban untuk membebaskan tanah air daripada cengkaman penjajah.
Tanpa kesedaran dan keinsafan yang mendalam memahami nikmat kemerdekaan, terutama dalam kalangan generasi baharu, akan wujud perlakuan dan pemikiran yang boleh merosakkan negara.
Kecenderungan ke arah itu terlalu menonjol kini dan boleh dilihat atau dibaca dengan kerap dan jelas dalam naratif di ruang awam, terutamanya dalam forum-forum maya. Hujah menyerang dan mempertahankan diri tidak lagi dilihat “cerdik” tetapi lebih cenderung untuk menyalahkan pihak lawan dan mengekalkan kedudukan diri seperti sempurna.
Tanpa usaha keras dan bersungguh-sungguh untuk membanterasnya, perpaduan yang menjadi benteng penting kemerdekaan sesebuah negara akan tumbang menyembah bumi dan semua harapan serta cita-cita murni bangsa yang bebas dan bermaruah juga akan kecundang.
Sesebuah bangsa wujud dalam minda kumpulan manusia yang membentuknya. Sebagai "komuniti politik yang dibayangkan" (an imagined political community), kelangsungan hayatnya sangat bergantung kepada sejauh mana anggota komuniti tersebut mengongsi dan mendukung imej bangsa berkenaan dalam kesedaran masing-masing serta mengatur kehidupan mereka berdasarkan gambaran itu.
Sempena sambutan Hari Kemerdekaan ini, semua pihak agar kembali kepada keazaman kolektif tunggal yang pernah membebaskan negara daripada penjajahan dahulu, agar ia sekali lagi menjadi senjata paling ampuh dalam memastikan sinar mentari kemerdekaan negara akan dapat kita wariskan pula kepada generasi-generasi akan datang.
Berdekad kebebasan. Berpuluh tahun kebersamaan. Bersilih zaman. Berganti generasi. Nikmat bernegara ini terlalu bernilai. Ia tidak boleh bernoktah. Anugerah indah ini milik kita dan mesti menjadi hak kita buat selama-lamanya.
No comments:
Post a Comment