Wayang kulit Kelantan adalah satu
persembahan menggunakan konsep cahaya dan bayang. Cahaya akan dipancarkan di
belakang kelir dan patung-patung wayang yang diperbuat daripada kulit haiwan
akan digerak-gerakkan di antara kelir dan cahaya. Patung-patung digerakkan oleh
seorang tok dalang mengikut cerita yang dibawa berserta iringan muzik.
Himpunan cerita dalam persembahan wayang kulit
Kelantan sebahagian besarnya berdasarkan versi lisan dan sastera Melayu epik
India kuno iaitu ‘Ramayana’ yang menceritakan penggembaraan Seri Rama,
isterinya Siti Dewi dan Maharaja Rawana.
Wayang kulit Kelantan akan diterajui oleh
seorang tukang cerita yang dipanggil tok dalang. Tok dalang yang merupakan
pemimpin kumpulan bertindak sebagai pemain segala peranan dalam persembahan
wayang kulit, antaranya sebagai penulis cerita, pengarah lakonan, pengatur
pentas, penyusun iringan, pengisah, pemain watak, dan juga
"penyanyi".
Dengan kata lain, tok dalang adalah
seseorang yang mempunyai kemahiran pelbagai ilmu dan disiplin. Terdapat dua
jenis tok dalang iaitu tok dalang muda dan tok dalang tua. Tok dalang muda
berperanan memulakan persembahan iaitu sewaktu bermulanya lagu bertabuh,
manakala persembahan isi cerita akan diambil alih oleh tok dalang tua
sehinggalah tamat persembahan.
Alat-alat muzik yang digunakan dalam
persembahan wayang kulit Kelantan terdiri daripada gendang, serunai, gedombak,
geduk, gong, kesi dan canang. Wayang kulit Kelantan terkenal di kawasan luar
bandar di mana ia dipersembahkan semasa resepsi perkahwinan, berkhatan, pesta
menuai dan di acara keramaian.
Kini persembahan wayang kulit Kelantan
turut dipentaskan di tempat-tempat berprestij seperti Teater Kebangsaan, Dewan
konvensyen, dan ruang rekreasi awam
Sumber - https://www.heritage.gov.my/my/wayang-kulit-kelantan.html
No comments:
Post a Comment