Friday, 1 October 2021

LUMPUR SEKAT LALUAN BOT JETI KOK MAJID

    
Mendapan lumpur hingga menyebabkan paras sungai cetek menyukarkan pergerakan bot yang menjadi pengangkutan utama penduduk beberapa kampung sekitar pulau di muara Sungai Kelantan, untuk keluar masuk ke jeti tanah besar. 
 
Inilah masalah yang sering dihadapi oleh penduduk menggunakan perkhidmatan bot di Jeti Kok Majid, Tumpat.  
 
Jeti Kok Majid terletak di tebing Sungai Kelantan. Jaraknya dari Kota Bharu kira-kira 15 kilometer. 
 
Jeti Kok Majid agak terkenal di kalangan penduduk yang ingin ke atau dari beberapa pulau di delta Sungai Kelantan. 
 
Mereka yang ingin ke Pulau Renjuna, Pulau Seratus, Pulau Beluru, Pantai Suri, Pulau Pantai Nik Mat, Pulau Gorek dan kawasan sekitarnya perlu menaiki bot di Jeti Kok Majid. 
 
Biarpun ada tindakan pihak berkuasa mendalamkan Sungai Kelantan sebagai laluan bot berhampiran jeti tersebut, nama ia masih belum menyelesaikan sepenuhnya masalah dihadapi kerana lumpur kembali berkumpul di laluan bot. 
 
Keadaan sungai semakin cetek akibat mendapan lumpur. Setiap kali air surut akan membawa lumpur di tepi sungai ke laluan bot. Lumpur itu semakin meninggi dan menjadikan laluan bot semakin cetek.  
 
Ketika air surut, pemandu bot perlu berhati-hati dan memilih laluan yang diketahui mempunyai kedalaman yang selamat untuk dilalui bot.  
 
Jika tidak berhati-hati ketika melewati kawasan air surut, komponen bot juga berisiko dengan kejadian mata kipas patah, enjin dimasuki selut dan lebih bimbang jika bot pecah sekiranya terlanggar sesuatu.  
 
Lumpur yang terkumpul di muara Sungai Kelantan adalah dibawa dari hulu sungai, terutama ketika musim banjir. Air keruh adalah tanda ia mengandungi banyak lumpur.

No comments:

Post a Comment