Wednesday, 6 October 2021

SEJARAH MASJID RAJA KAMPUNG CHEPOR LENGGONG

  
Kampung Chepor, Lenggong, Perak memang cukup terkenal. Ia mempunyai sejarah yang menarik, termasuk sebuah masjid yang terdapat di kampung tersebut yand dikenali Masjid Raja. 
 
Mengikut sejarah, kampung itu diteroka oleh dua beradik, iaitu Tun Saban dan Tun Puteh. Mereka adalah anak kepada Bendahara Melaka, Tun Perak. 
 
Dua beradik ini membina masjid yang pertama di kampung itu, pada 1539, iaitu dikenali sebagai Masjid Raja yang siap sepenuhnya pada 1541. 
 
Masjid Raja dibina pada zaman Sultan Perak 1, Sultan Muzzaffar Shah 1, masih kukuh bangunannya selepas tiga kali dibaik pulih. 
 
Sultan Muzzaffar Shah 1 adalah salah seorang putera Sultan Mahmud Shah yang berundur selepas kejatuhan Melaka kepada Portugis. 
 
Kisah pembinaan masjid itu ada nilai sejarahnya membabitkan Kerajaan Islam Melaka dan permulaan Kerajaan Perak yang menarik dikunjungi dan ditelusuri kronologinya. 
 
Binaan masjid bercirikan reka bentuk Melayu, Riau, Sumatra, Minangkabau, Deli dan Langkap masih utuh di sebelah Masjid al-Rahmaniah yang digunakan sehingga sekarang ini. 
 
Masjid Raja dibina selepas diperintahkan oleh Sultan Muzzaffar Shah 1 yang menitahkan supaya semua kampung di Perak, termasuk wilayah tadbir Tun Saban dan Tok Temong perlu didirikan masjid. 
 
Susulan titah baginda Sultan Perak itu, orang Pattani yang datang bersama Tun Saban dan orang Kampar yang mengiringi Tun Puteh kemudiannya bergotong-royong membina masjid itu. 
 
Mereka beramai-ramai masuk ke hutan untuk mencari, menebang, memotong dan membelah kayu daripada pelbagai spesies seperti cengal emas, merbau dan lain-lain, untuk dijadikan tiang, alang, dinding dan sebagainya. 
 
Pelbagai saiz kayu mengikut fungsinya, diangkut dengan cara ditarik dari hutan rimba hingga ke kampung dengan menggunakan gajah. 
 
Binaan bangunannya disokong kuat dengan empat tiang daripada kayu cengal emas yang masih utuh tidak dimamah usia di bahagian tengah masjid berkenaan. 
 
Keempat-empat tiang utama itu menjadi tonggak bagi menyokong mengukuhkan struktur bangunan masjid itu. 
 
Malah kayu asal digunakan itu terus utuh tidak terjejas sedikit pun hingga ke hari ini. 
 
Binaan asal masjid itu beratapkan jalinan daun-daun rumbia dan dinding kelarai dengan rangka atas terdiri daripada kayu-kayan berbentuk bulat. 
 
Atap rumbia digantikan dengan atap zing dan papan menggantikan kelarai hanya setelah baik pulih pada kali yang ketiga. 
 
Penentuan arah kiblat masjid boleh memuatkan 100 jemaah itu disempurnakan seorang ulama dari Pattani yang menjadi pengikut Tun Saban. 
 
Selepas siap tiada majlis perasmian pembukaan masjid itu. Namun, solat Jumaat pertama di Masjid Raja itu dihadiri oleh Sultan Muzzaffar Shah 1, pada 1541. 
 
Gambar Masjid Raja diperoleh di media maya.

No comments:

Post a Comment