Kita semua perlu memahami bahawa konsep dakwah itu luas yang mencangkupi semua aspek kehidupan. Sehubungan itu,
berusahalah memahami dan menyiapkan diri untuk melaksanakan tugas penting ini.
Firman Allah dalam surah
Fushshilat ayat 33 menjelaskan keutamaan melaksanakan tugas dakwah yang
bermaksud: “Dan siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang
menyeru kepada Allah serta berbaik-baik dan mengaku aku seorang Muslim.”
Mendekati dan memahami situasi
kehidupan remaja merupakan aspek terpenting dalam menyiapkan diri untuk
berdakwah di kalangan remaja. Kehidupan remaja merupakan peralihan di alam
kanak-kanak kepada alam dewasa.
Setiap remaja melalui tempoh
tersebut dalam aspek berbeza. Sebahagian remaja menempuhnya dengan kematangan
fikiran hasil didikan, pengaruh persekitaran dan pegangan hidup yang kukuh.
Golongan ini mudah menyediakan dan mencapai kematangan fikiran dan tindakan
lebih awal berbanding rakan sebaya.
Mereka dapat hidup berdikari dan
melaksanakn tugas dengan baik. Ada remaja mampu memikul sebahagian
tugas ibu bapa. Bahkan ada remaja mengambil alih tugas ketua keluarga setelah
bapa atau kedua-dua ibu bapa meninggal dunia atau menghilangkan diri.
Manakala itu ramai remaja
menempuh tempoh tersebut dengan penuh ranjau. Mereka mengambil masa yang
panjang untuk menyesuaikan diri. Kemampuan emosi dan kekuatan mental dalam
mengharungi pancaroba hidup remaja tidak mantap, sehingga mereka terpesong
daripada apa ditetapkan syariat.
Golongan ini perlu didedakati dan
didakwah untuk kembali ke landasan kehidupan menuju kebaikan, kejayaan dan
diredai Allah. Sebahagian daripada mereka masih belum terlewat atau hanya baru
terdorong melakukan perbuatan sia-sia.
Masalah sosial remaja biasanya
menghisap rokok, menagih dadah, lepak, mencuri, menonton atau membaca bahan berunsur
lucah, merosak harta benda awam dan sebagainya.
Mereka terlibat dalam kancah
tersebut memandangkan tidak ramai orang dewasa untuk memahami dan mengambil
berat mengenai mereka. Bapa, ibu dan orang dewasa lebih supaya mengatakan itu
dan ini, sedangkan banyak perkara orang dewasa sendiri tidak melakukannya.
Umpamanya, bapa marahkan anak
merokok, sedangkan bapa sendiri merokok. Bapa suruh anak remaja yang sudah
tamat bersekolah agar berkerja, tetapi bapa sendiri lebih kerap bersembang di
kedai kopi dan melakukan kerja-kerja kurang berfaedah.
Suasana hidup keluarga yang
kurang kemesraan, krisis rumah tangga, masalah ekonomi dan runtuhnya budi
pekerti mudah mendorong remaja mencari jalan hidup sendiri. Mereka cuba mendapatkan
ketenangan dan kepuasan hidup di luar rumah bersama-sama rakan sebaya.
Asas paling penting dalam usaha
membentuk dan mendakwah remaja melakukan kebaikan ialah contoh dan tauladan.
Ibu bapa dan ahli keluarga perlu menjadi contoh kepada remaja. Perkara
baik dilakukan dan dikongsikan bersama-sama dengan remaja. Manakala perkara
buruk dijauhkan sama sekali.
Dalam masyarakat pula, orang
dewasa perlu lebih mendampingi remaja. Aktiviti kemasyarakatan seperti kerja
gotong-royong, bersukan dan riadah diperbanyakkan. Ia bukan saja untuk remaja,
tetapi melibatkan seluruh ahli masyarakat.
Dengan keadaan tersebut, remaja
akan merasakan diri sendiri sebagai sebahagian daripada komiti masyarakat.
Kehidupan mereka terisi dengan pelbagai aktiviti sehingga terhalang daripada
melakukan perkara tidak baik.
Apabila mereka sudah berada dalam
satu kelompok baik, maka mudahlah untuk mencorakkan mereka ke dalam
perkara-perkara yang lebih serius. Mereka perlu didedahkan kepada kepimpinan,
semangat petrotik, memahami amalan beragama dan peranan bakal ditempuh apabila
berumah tangga.
No comments:
Post a Comment