Maksud sabda Rasulullah SAW:
“Apabila salah seorang kamu bertemu dengan seorang sahabatnya, maka hendaklah
mengucapkan assalamualaikum warahmatullah.” (Hadis riwayat Abu Daud, Tirmizi dan Nasai)
Hadis itu jelas bermaksud
mengarahkan agar setiap Muslim mengucapkan salam apabila berjumpa dengan Muslim
lain. Malah dalam hadis lain ada dijelaskan larangan bercakap tanpa dimulakan
dengan salam. Maka sebab itu, individu yang beriman mengutamakan memberi salam
dan menjawab salam kerana ia sebagai mentaati suruhan agama. Jelas sekali
betapa pentingnya ucapan salam diucapkan ketika bertemu sesama Muslim.
Hadis diriwayatkan Tabrani dan Abu
Naim bermaksud: “Sesiapa mulai bercakap-cakap sebelum memberi salam, maka
janganlah kamu menjawab percakapannya, sehinggalah dia memulainya dengan
memberi salam.”
Seperti amalan lain yang dituntut,
maka memberi salam ada hukumnya. Memberi salam hukumnya sunat muakkad, iaitu
sunat yang amat dituntut dilakukan di mana pahalanya lebih besar daripada
sunat-sunat lain.
Jika memberi salam hukumnya sunat
muakkad, tetapi menjawab salam adalah wajib bagi sesiapa yang mendengar salam
itu sama ada suka atau tidak kepada orang mengucapkan salam itu. Bagaimanapun,
dalam kumpulan ramai, memadai salam itu dijawab oleh seorang yang mewakili kumpulan itu. Pun jika semua yang ada
itu menjawabnya, maka itu adalah lebih baik.
Diperhatikan ucapan salam tidak
meluas di kalangan masyarakat Islam di negara kita, kecuali dalam urusan rasmi.
Apabila menemui seseorang yang ingin dihormati saja ucapan salam ditujukan itiu
kebiasannya orang bawahan memberi salam kepada orang atasan.
Malah ada orang sukar melafazkan
ucapan salam kerana segan. Mereka takut dipanggil alim, sedangkan keadaan
dirinya sebenar adalah sebaliknya. Maka ucapan yang lebih kerap digunakan ialah
helo, hai dan sebagainya. Perbuatan itu membuktikan sifat malu tidak bertempat.
Tidak kurang juga tidak mahu
memulakan salam kerana merasakan kedudukannya lebih tinggi. Ucapan salam
diharapkan ditujukan kepadanya, tetapi tidak mahu mengucapkan salam kepada
orang lain.
Mengucapkan salam tidak dihadkan
bilangan. Boleh diucapkan salam kepada orang sama setiap kali bertemu dalam
selang masa yang singkat. Tetapi jangan pula keterlaluan sehingga menimbulkan
perkara tidak disenangi. Islam lebih suka amalan dilakukan berterusan biarpun
sedikit daripada melakukan banyak tetapi dalam tempoh singkat.
Untuk membiasakan ucapan salam, mulakan dulu di kalangan keluarga dan
sahabat terdekat. Memberi salam sebelum memasuki rumah adalah salah satu cara
mendapatkan keberkatan dan kejayaan dalam rumahtangga.
Amalan ini pernah disuruh oleh Allah agar dilakukan oleh Anas seperti mana
diriwayatkan Baihaqi. Sabda Rasulullah bermaksud: “Hai Anas! Ratakanlah wududmu
nescaya bertambah umurmu. Berilah salam kepada orang yang engkau temui daripada
umatku nescaya bertambahlah kebajikanmu. Dan apabila engkau masuk ke rumahmu,
maka berikanlah salam kepada keluargamu nescaya banyaklah kebajikan
rumahtangga.”
No comments:
Post a Comment