Ikatan pertunangan bukan kebenaran
membolehkan lelaki dan perempuan bergaul bebas. Lelaki dan perempuan yang telah
bertunang masih terikat dengan hukum halal dan haram seperti mana hubungan
bukan muhrim.
Ibu bapa perlu mengawal anak
perempuan yang telah menjadi bertunang agar tidak bergaul bebas dengan
tunangnya. Alasan bahawa mereka akan berkahwin selepas itu bukanlah bermakna
semuanya sudah boleh dilakukan sepertimana pasangan yang telah berkahwin.
Ramai ibu bapa dan anak muda tidak
memahami hukum dan falsafah pensyariatan pertunangan. Mereka beranggapan
menerusi majlis pertunangan mereka sudah halal untuk berpegangan tangan,
berdua-duaan, bergesel-geselan. Semua itu haram selagi tidak berlaku akad
pernikahan.
Perlu ditegaskan, hubungan pertunangan
masih belum boleh menghalalkan pergaulan antara pasangan. Mereka hanya terikat
dengan hukum perjanjian untuk melangsungkan pernikahan yang mungkin berlaku
atau sebaliknya.
Batasan syariat bagi pasangan yang
dalam tempoh pertunangan antaranya, tidak mendedahkan aurat kepada pasangan
atau ibu bapa pasangan kerana masih belum tergolong dalam kalangan mahram.
Tidak boleh berdua-duaan antara
pasangan atau antara ibu bapa (berlainan jantina) di tempat sunyi dan
mencurigakan kerana hukum mereka sama seperti orang luar yang tiada hubungan
kekeluargaan.
Tidak terikat dengan sebarang hak yang
boleh dinikmati oleh pasangan suami isteri. Wajib menjaga tingkah laku, adab
dan syariat ketika mereka bersua untuk berbicara dan saling kenal mengenali.
Tidak berhias melampaui batas sehingga mengalahkan pasangan yang telah
berkahwin.
Ikatan pertunangan hanya satu
perjanjian di antara lelaki dan perempuan yang setuju menjadi suami isteri pada
masa akan datang. Ibu bapa yang membiarkan anak mereka bebas bergaul dengan
tunang akan menanggung perbuatan dosa yang dilakukan oleh anaknya.
Sekiranya dirasakan ikatan
pertunangan itu menyebabkan hubungan bebas, maka pihak ibu bapa perlu
memikirkan agar perkahwinan disegerakan. Tindakan tersebut dapat mengelakkan
daripada berlaku keterlanjuran.
Tambahan pula semasa tempoh
pertunangan yang lama sering menyebabkan perkara yang merenggangkan hubungan
pertunangan. Banyak cabaran dan kerenah yang terpaksa dihadapi oleh pasangan
bertunang.
Sering kali terdapat pihak yang
mengambil kesempatan menyebarkan fitnah dan usaha memutuskan pertunangan itu.
Perbuatan tersebut dilakukan oleh mereka yang berdengki melihat pasangan yang
bakal berkahwin dan menikmati kebahagiaan hidup berkeluarga kemudiannya.
Maka, wajarlah perkahwinan
disegerakan. Lebih awal berkahwin, lebih cepat merasai dan mendapat apa yang
diharapkan melalui perkahwinan. Kebahagiaan hidup berkeluarga merupakan
sebahagian daripada nikmat-nikmat yang Allah janjikan dalam hubungan lelaki dan
perempuan.
Berkahwin awal antara lain
berpeluang mendapat zuriat lebih awal. Zuriat merupakan anugerah Allah yang menyerikan
suasana hidup suami isteri. Justeru pasangan berkahwin perlu menyimpan hasrat
ingin mandapat zuriat yang banyak.
Zuriat menyediakan rezeki yang lebih
luas dan kehidupan yang lebih bahagia. Hubungan tali pertunangan bukan satu
cara untuk menghalalkan sesuatu yang asalnya haram.
Satu-satunya akad yang
mampu menghalalkan pergaulan bebas antara lelaki dengan perempuan adalah akad
perkahwinan.
No comments:
Post a Comment