Thursday 29 June 2023

TIDAK CUKUP TUKANG SEMBELIH UNTUK ACARA KORBAN

 
Pukul 10.30 pagi, kira-kira 50 tahun lalu, ketika menghadiri acara korban Hari Raya Aidiladha, masing-masing yang hadir terpaksa menunggu tukang sembelih atau jurusembelih lembu. Sepatutnya acara korban sudah bermula pada pukul 8.30 pagi. Itu waktu yang dijanjikan agar mereka yang berkorban berada di tempat yang dijanjikan.
 
Pemilik lembu mula gelisah apabila beberapa kali ditanya bila lembu hendak disembelih. Katanya sabar dahulu. Tukang sembelih tidak sampai lagi.
 
Masa dahulu belum ada telefon bimbit. Jadi payah hendak dikesan di mana keberadaan tukang sembelih. Mengikut maklumat daripada orang lain, tukang sembelih sedang sembelih lembu di kampung lain.
 
Itu kisah 50 tahun lalu. Sebenarnya kisah atau kejadian sama berlaku setiap tahun setiap kali acara korban. Jumlah lembu yang dikorbankan semakin bertambah, sedangkan tukang sembelih tidak ramai. Tukang sembelih kena ke sana ke sini untuk menyembelih lembu.
 
Setiap tempat sembelihan ada “halangan” masing-masing yang menyebabkan kerja sembelihan menjadi lambat. Ada kejadian peserta korban tidak sampai lagi. Ini biasanya berlaku di tempat mula-mula.
 
Kes lain berlaku apabila lembu sukar dijinakkan. Mengambil masil lama untuk ditumbangkan. Kena macam-macam tektik digunakan. Itu belum masuk kes lembu terlepas. Satu kampung perlu mengejar lembu.
 
Satu lagi kebiasaan yang menyebabkan jadual tukang sembelih “lari” ialah apabila bilangan yang disembelihkan bertambah. Awalnya dimaklumkan seekor sahaja, tiba-tiba jadi tiga ekor. Memang lamalah masa diperlukan di tempat itu.
 
Apapun kisah pada puluhan tahun lalu terus berlaku sekarang. Sepatutnya, perlu dilatih lebih banyak tukang sembelih agar kerja-kerja menyembelih lebih lancar dan cepat. Aktiviti korban dapat dilaksanakan tepat masa dan semua yang terlibat tidak tertunggu-tunggu.
 
Terima kasih tukang sembelih yang berkorban tenaga untuk menyempurnakan ibadat korban mereka yang dilebihkan rezeki dan mampu melaksanakan ibadat korban.

No comments:

Post a Comment