Thursday 2 December 2021

JAGA PERCAKAPAN MENGELAK KECELAKAAN

  
Rasulullah SAW bersabda supaya menyampai suatu daripada baginda biarpun satu ayat? Salah satu menyampaikan dakwah ialah melalui kata-kata. 
 
Perlu diingatkan, kita mungkin menyesal kerana tidak berkata-kata sesuatu perkara sedangkan kita berpeluang menyatakan pada seseorang. 
 
Di akhirat nanti kita akan dipersoalkan oleh orang lain mengapa kita tidak memberitahu kepada sesuatu kepadanya perkara yang sepatutnya dia tahu. 
 
Berkatalah perkara yang benar biarpun pahit. Kerana tidak mahu menyakitkan hati orang, kita sebenarnya telah gagal melaksanakan tanggungjawab menyeru orang melakukan kebaikan dan mengelak perkara buruk.  
 
Kalau dalam urusan lain kita boleh berurusan dengan seseorang, mengapa tidak dalam perkara mendatangkan kebaikan. 
 
Ambillah kesempatan atau peluang ketika kita masih boleh berkata-kata untuk melakukan kebaikan dan membantu orang lain melalui ucapan atau kata-kata kita. 
 
Tetapi, jika masih memilih untuk berdiam, itulah selemah-lemah iman dalam usaha melakukan dakwah atau ‘mencegah’ perkara buruk. 
 
Penggunaan lisan atau lidah (perantaraan mulut) dalam kehidupan seharian adalah cara komunikasi sesama manusia paling berkesan. Malah, binatang ‘boleh’ memahami suara manusia.  
 
Biarpun manusia boleh berbahasa isyarat menggunakan anggota badan seperti tangan, mimik muka dan gerak badan, berkomunikasi cara itu agak terbatas dan lebih sukar. 
 
Justeru, tepat sekali dikatakan lidah merupakan pancaindera terpenting. Sesiapa tidak boleh bercakap atau bisu dikategorikan sebagai cacat atau kekurangan pancaindera. Justeru, individu yang dikurniakan kebolehan bercakap dan sempurna pancaindera lidah, perlu menggunakan anugerah Allah itu dengan sebaik-baiknya. 
 
Hal ini perlu diberi perhatian, disebabkan tidak menjaga lidah banyak bencana berlaku. Sebab itu senarai dosa melibatkan pancaindera lidah lebih banyak berbanding pancaindera lain. 
 
Abu Bakar as-Siddiq pernah menunjukkan lidahnya kepada seseorang lantas berkata: “Inilah mendatangkan hal-hal kebinasaan kepadaku.” 
 
Sebab itu pepatah orang tua ada mengingatkan ‘kerana mulut badan binasa’. Justeru bila bercakap perlu berhati-hati agar tidak terkeluar perkataan mendatangkan keburukan. 
 
Sepatah perkataan terkeluar, sukar untuk ditarik balik. Maka ingatlah kata-kata ‘terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata badan binasa”.

No comments:

Post a Comment