Sungai Pengkalan Datu adalah antara sungai
utama di Kelantan, selain Sungai kelantan, Sungai Kemasin dan Sungai Semerak.
Muara Sungai Pengkalan Datu terletak di
Pantai Senok mengalirkan air keluar ke Laut China Selatan. Di bahagian muara
terdapat benteng batu untuk mengelak hakisan dan sebuah bangunan rumah api dibina
di hujung benteng untuk memandu nelayan memasuki muara.
Nelayan yang memasuki muara Sungai
Pengkalan Datu mendaratkan hasil tangkapan masing-masing sama ada di Jeti Senok
atau di Jeti Pulau Gajah. Kedudukan kedua-dua jeti tersebut adalah bersetentangan.
Perbezaan pendaratan itu adalah berkaitan dengan tempat tinggal nelayan yang
terlibat.
Sungai Pengkalan Datu semakin terkenal
sebagai lokasi pelancongan apabila di beberapa tempat di sepanjang sungai
berkenaan dibangunkan dengan aktiviti ekopelancongan.
Antara tempat tersebut ialah di Kampung
Pengkalan Datu apabila wujud aktiviti pasar terapung di tebing sungai. Selain
aktiviti jualan, pengunjung juga berpeluang menaiki bot yang disediakan untuk
menyusur menikmati pemandangan sepanjang laluan.
Satu lagi kawasan ekopelancongan ialah di
Pulau Tengah, Kubang Kerian yang terkenal dengan denai sungai yang disediakan
di pinggir sungai yang membolehkan pengunjung bersiar-siar di tepi sungai.
Di Pulau Tengah juga terdapat restoran
terapung dan beberapa aktiviti lain seperti melawat kawasan penternakan madu
kelulut. Di Pulau Tengah juga terkenal sebagai lokasi melihat kunang-kunang.
Panjang Sungai Pengkalan Datu kira-kira 16
kilometer sehingga ke Kampung Gong Dermin. Namun, aliran sungai tersebut
bermula lebih jauh lagi sehingga ke Kampung Nilam Puri, terus ke Kampung Kor
Dalam dan beberapa kampung lain di Ketereh. Sebab itu, sungai kecil atau anak
sungai di kawasan berkenaan masih dikenali dengan nama Sungai Pengkalan Datu atau
nama-nama lain yang dikenali di kalangan penduduk setempat.
No comments:
Post a Comment