MEMAAFKAN KESALAHAN ORANG SIFAT TERPUJI
Islam menuntut umatnya memaafkan orang yang
memohon maaf dengan tanpa perasaan prejudis atau pandangan serong.
Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan
jika kamu memaafkan dan tidak memarahi serta mengampuni (mereka) maka
sesungguhnya Allah Maha pengampun lagi Maha penyayang.” (Surah At-Taghabun,
ayat 14)
Daripada Abu Hurairah menyebut bahawa ada
seorang lelaki memberitahu Rasulullah SAW: “Wahai Rasulullah, sesungguhnya aku
mempunyai kerabat. Aku berusaha menyambungnya, namun mereka memutuskan hubungan
dengan aku. Aku berbuat kebaikan kepada mereka, namun mereka berbuat tidak
baik. Aku bersabar dengan mereka namun mereka berbuat kebodohan terhadapku.”
Maka Rasulullah SAW bersabda: “Jika benar
yang kamu ucapkan maka seolah-olah kamu menebarkan abu panas kepada mereka. Dan
kamu sentiasa mendapat pertolongan dari Allah atas (perbuatan) mereka selama
kamu di atas hal itu.” (Riwayat Muslim)
Orang yang memiliki jiwa yang ikhlas
selalunya menghiasi diri dengan kemuliaan dan dalam hatinya sentiasa berusaha
untuk menyingkirkan sifat tidak baik.
Nabi Allah Yusuf adalah antara contoh
manusia memiliki jiwa dan keperibadian yang luhur walaupun beliau disakiti
saudaranya sendiri dengan dilemparkan ke dalam perigi dan dijual kepada kafilah
dagang sehingga berpindah dari satu tempat ke tempat lainnya.
Sebagai balasan di atas kemuliaan hatinya,
Allah mengangkat kedudukan Nabi Yusuf sehingga menjadi orang besar yang
bertanggungjawab menjaga perbendaharaan Mesir ketika itu.
Justeru, manusia seharusnya mempunyai
perasaan rendah hati untuk mengakui kesilapannya. Mereka juga seharusnya bijak
mengambil manfaat daripada kegagalannya dan bertindak berani membetulkan
kesilapannya.
Allah SWT menyukai orang yang berbuat baik
seperti terakam dalam firman-Nya yang bermaksud: “Dan orang yang menahan
amarahnya dan memaafkan (kesalahan) orang. Allah menyukai orang-orang yang
berbuat kebajikan.” (Surah Ali Imran, ayat 134).
No comments:
Post a Comment