Sunday, 15 October 2023

MUSIBAH SEBAGAI UJIAN TAHAP KEIMANAN

 
Allah SWT menguji hamba-Nya dengan pelbagai cara dan tahap. Sesungguhnya tanpa ujian daripada Allah, kehidupan ini sekadar satu perjalanan biasa. 
 
Allah SWT berfirman dengan maksudnya: “Yang menjadikan mati dan hidup, supaya Dia menguji kamu, siapa antara kamu yang lebih baik amalannya. Dan Dia Maha Perkasa lagi Maha Pengampun.” - (Surah al-Mulk, ayat 2).
 
Serangan wabak penyakit, banjir, kamarau, gempa bumi atau ribut, adalah sebahagian daripada ujian yang Allah SWT melibatkan seluruh penduduk. Ujian tersebut terkena tanpa mengira siapakah taraf keimanan dan ketakwaan seseorang. Orang yang beriman turut menerima kesannya sebagai ujian.
 
Rasulullah SAW bersabda diriwayatkan Tarmizi bermaksud: “Apabila Allah mencintai sesuatu kaum, mereka Dia menguji mereka. sesiapa yang reda, ia akan mendapat keredaan Allah dan sesiapa yang marah, ia akan mendapat kemurkaan Allah.”
 
Dalam sabda lain Rasulullah SAW menjelaskan bermaksud: “Demi zat yang diriku ada di tangan-Nya, tiadalah Allah menentukan sesuatu keputusan kepada hamba-Nya yang mukmin melainkan akan membawa kebaikan kepadanya.” - (Hadis riwayat Muslim).
 
Oleh itu, apabila berdepan dengan sesuatu bencana, tindakan pertama ialah reda terhadap apa yang menimpa, kemudian dilakukan usaha yang sepatutnya mengurangkan kesan musibah dan seterusnya memulihnya kembali. 
 
Setiap musibah menimpa perlu diatasi untuk mendapat kembali apa diingini. Jika mengalami penyakit, usaha perlu dilakukan ialah berubat untuk kembali sihat. Begitulah dengan musibah-musibah lain yang perlu ditangani.
 
Anggapan mengatakan setiap cubaan daripada Allah hanya perlu dihadapi dengan reda dan berserah kepada takdir menentukan adalah satu fahaman salah. Allah menyuruh kita berusaha mendapatkan kembali keadaan asal, bahkan dengan sesuatu lebih baik lagi.   
 
Allah memberikan kita akal untuk memikirkan perkara kebaikan dan menyelesaikan permasalahan hidup yang menimpa diri, keluarga dan masyarakat. Berserah kepada Allah semata-mata tanpa berusaha bermakna tidak menggunakan keistimewaan akal dan kebolehan dikurniakan oleh Allah. 
 
Sekiranya kita menerima sesuatu musibah dengan reda dan tenang, Allah akan membuka rahmat-Nya dengan seluas-luasnya. Fikiran dalam keadaan tenang dan bijaksana biarpun berdepan saat mencemasakan. Tindakan yang dilakukan akan mendapat petunjuk daripada Allah dan lebih mudah untuk diselesaikan.
Sebaliknya, perasaan tidak menentu, takut dan marah kepada apa yang menimpa, akan menjadikan keadaan lebih kelam kabut. Tanpa disedari diri kita lebih dikuasai oleh syaitan berbanding akal. Syaitan bukan sahaja menunjukkan jalan yang salah, bahkan menjauhkan manusia daripada mengingati Allah. 
 
Orang yang tidak dapat menerima hakikat apa yang menimpa dirinya mudah berputus asa dan mencampakkan diri dalam kebinasaan. Banyak orang berputus asa untuk terus berusaha mengubati penyakit yang dialami yang dianggap tidak mungkin lagi dapat disembuhkan.
 
Sesungguhnya setiap usaha yang dilakukan untuk kebaikan akan mendapat balasan daripada Allah. Biarpun mungkin usaha dilakukan tidak memberi apa-apa kesan positif, anggaplah itu sebahagian daripada menuruti tuntutan agama dan balasan kebaikan diterima di akhirat nanti.
 
Sebagai muslim yang yakin dengan kekuasaan Allah SWT, tidak ada apa yang mustahil bagi Allah. Banyak ‘keajaiban’ yang Allah kurniakan kepada sesiapa yang tidak mudah menyerah kalah dalam perjuangan hidup. Manusia hanya merancang, sedangkan Allah menentukannya. 
 
Firman Allah SWT bermaksud: “Apa saja nikmat yang kamu peroleh ialah daripada Allah dan apa saja bencana yang menimpa kamu, maka daripada (kesalahan) diri kamu sendiri.” - (Surah an-Nisa, ayat 79).

No comments:

Post a Comment